Penduduk lima pulau di Mersing capai imuniti kelompok 100 peratus

 Penduduk lima pulau di Mersing capai imuniti kelompok 100 peratus

Penduduk hadir dalam Program Pemberian Vaksin Dos Kedua Secara PPV Bergerak Mukim Pulau Daerah Mersing di Pulau Besar, Mersing, hari ini.

MERSING, 27 Ogos  — Penduduk di lima buah pulau di daerah ini yang menjadi tempat tarikan utama pelancong lega apabila sudah mencapai imuniti kelompok 100 peratus, hari ini.

Mereka lengkap menerima dos kedua vaksin menerusi Program Pemberian Vaksin (PPV) Dos Kedua Secara PPV bergerak Mukim Pulau Daerah Mersing di Pulau Besar.

Penduduk Pulau Besar, Nurul Akma Kamal, 33, mengakui sudah lama menanti untuk mendapatkan janji temu vaksin dan gembira kerana tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkannya menerusi program tersebut.

“Saya sendiri memang mahu cepat-cepat vaksin sebab bekerja di resort di pulau ini dan kini saya diminta kerja di darat menjaga kafe. Bila ramai yang sudah vaksin di pulau ini, diharapkan pelancongan di sini dapat dibuka dengan cepat,” katanya.

Mariana Nawang, 45, pula lega sudah lengkap menerima vaksin dan berharap pelancong mula kembali datang ke pulau berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pelancongan (MTA), Ahmad Firdaus Shaik Omar berkata, pihaknya memulakan Kempen Pendaftaran Vaksinasi Pelancongan pada 1 hingga 6 April lalu.

Katanya, bermula dengan 100 nama akhirnya meningkat menjadi 600 peserta terdiri daripada pekerja dalam sektor pelancongan meliputi penginapan, bot sewa pelancong, agensi pengembaraan dan pemandu pelancong.

“Semoga usaha pelbagai pihak ini dapat memberikan persediaan awal sebelum tibanya musim monsun pada November nanti. Dijangka pelancongan bakal bergerak aktif menjelang Februari 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah Mersing, Dr. Norzaher Ismail berkata, pemberian dos kedua itu melibatkan 1,000 penduduk termasuk pekerja dalam sektor pelancongan di lima pulau berkenaan.

“Setakat ini tiada masalah membabitkan penduduk di pulau dan tiada yang menolak menerima suntikan vaksin.

“Ini berikutan tahap kesedaran dan juga kerjasama amat baik melibatkan sektor pelancongan, pejabat daerah dan MTA,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pulau-Pulau/Tenggaroh Daerah Mersing, Muhammad Nur Fahmi Zulkifli berharap dengan tercapainya kolompok imuniti itu akan kembali merancakkan sektor pelancongan di pulau-pulau di sini.

“Kita bersedia terima kehadiran pelancong pada bila-bila masa jika aktiviti pelancongan sudah dibenarkan,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  49  =  50