Pendirian mengenai Taliban ambil alih Afghanistan akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet

 Pendirian mengenai Taliban ambil alih Afghanistan akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Pendirian rasmi Malaysia mengenai pengambilalihan Afghanistan oleh Taliban akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata Malaysia berhubung dengan semua pihak berkepentingan termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kumpulan kemanusiaan di Afghanistan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai isu itu.

Beliau berkata Malaysia buat masa ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan pendirian rasminya mengenai perkara berkenaan, dan ia akan dibincangkan serta mendapatkan nasihat Kabinet bagi membolehkan keputusan konkrit dibuat.

“Petang ini, saya akan menghubungi Menteri Luar Qatar (Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani) dan setiausaha agung OIC (Yousef Al-Othaimeen) untuk mendapatkan pandangan dan nasihat mengenai urusan (hal-ehwal) di Afghanistan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke The Southeast Asia Regional Center for Counter-Terrorism (SEARCCT) di sini, hari ini.

Kumpulan Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos sekali gus menguasai Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu. Berikutan itu, presiden Mohammad Ashraf Ghani turut meninggalkan negara berkenaan.

Saifuddin berkata, Malaysia memantau keadaan di Afghanistan menerusi pelbagai saluran termasuk melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India yang ditauliah serentak ke Kabul, selain perwakilan di Pakistan.

Mengenai status duta Afghanistan di Malaysia Dr Moheb Rahman Spin Ghar, Saifuddin berkata, diplomat itu dilantik oleh kerajaan Afghanistan terdahulu dan beliau tidak dipanggil pulang ke negaranya.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sentiasa berhubung dengan dua rakyat Malaysia di Afganistan yang bekerja untuk pertubuhan kemanusiaan antarabangsa di Kabul.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

80  +    =  89