Akses internet, peranti sesuai cabaran utama pengajaran, pembelajaran dalam talian

 Akses internet, peranti sesuai cabaran utama pengajaran, pembelajaran dalam talian

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Hala tuju Pendidikan Pengajian Tinggi Negara masih lagi berpandukan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 (PPPM).

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Indsutri Universiti Malaysia Pahang (UMP) Dr Suhaidah Hussain berkata, berdasarkan kepada 10 lonjakan yang digariskan di dalam PPPM PT 2015-2025, lonjakan ke-9 iaitu Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global telah memberikan peluang kepada tenaga pengajar untuk memperkasakan kemahiran penggunaan teknologi dalam talian dalam proses pengajaran dan pembelajaran semasa pandemik COVID-19.

Dr Suhaidah Hussain

“Pendekatan yang digunakan oleh tenaga pengajar termasuk pembelajaran dalam talian secara bersemuka (synchronous learning) ataupun secara tidak bersemuka (asynchronous learning).

“Pelbagai platform komunikasi dalam talian boleh digunakan seperti Microsoft Teams, Google Classroom, Zoom Teleconferencing, Webex dan sebagainya” katanya kepada Wacana.my.

Walaubagaimanapun, Suhaidah berpendapat, terdapat kekangan akses kemudahan internet dan penggunaan peranti yang bersesuaian menjadi cabaran utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

“Untuk tujuan itu, pelbagai kemudahan turut disediakan oleh institusi pendidikan seperti kemudahan pelan data dan pengedaran peranti kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang terdiri daripada kategori B40 bersasar sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dalam proses pembelajaran mereka,” katanya.

Pelbagai kesan pasca COVID-19 dihadapi oleh IPT seperti kekurangan pelajar tempatan dan antarabangsa sekaligus akan memberi impak kelestarian kewangan IPT dan perubahan dalam struktur pengajian yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

” Jika pelajar dapat pulang semula ke IPT masing-masing dalam masa terdekat ini, IPT perlu mengambil langkah dalam menjamin keselamatan dan kesihatan pelajar untuk pulang ke kampus.

” Ini akan dapat mengurangkan kegusaran ibu bapa dan pelajar untuk menyambung pembelajaran mereka di kampus,” katanya.

Selain itu, Suhaidah juga berkata fakulti juga akan memainkan peranan untuk memperkemaskan proses pengajaran dan pembelajaran yang tertinggal seperti penggunaan fasiliti seperti makmal dan bengkel semasa pandemik berlaku.

Secara kesimpulannya pelbagai pihak perlu memainkan peranan dalam membantu pelajar dalam mengharungi fasa yang mencabar ini dan sekaligus melahirkan graduan yang berdaya saing pada masa akan datang.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  3  =