• Sunday, 20 June 2021, 9:41 am

Penderitaan lelaki tinggal di rumah usang dapat perlindungan sementara

 Penderitaan lelaki tinggal di rumah usang dapat perlindungan sementara

 

Oleh Mohammad Ishak

KUALA BESUT,11 Jun — Penderitaan lelaki, Mohamad Yahya,57, dari Kampung Pacakan, Kuala Besut, yang tinggal sebatang kara di sebuah rumah usang dan buruk mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Mohamad, anak jati perkampungan nelayan Kuala Besut, dikatakan penghuni tetap rumah usang tersebut dan tinggal sebatang kara sejak lima tahun lalu.

Beliau tinggal di rumah peninggalan orang tuanya walaupun terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan basah bila hujan, dan tiada kemudahan asas termasuk bekalan elektrik dan air.

Kisah kesusahan hidup lelaki terbabit mula menjadi perbualan dan perhatian masyarakat setempat selepas ia tular dalam hantaran pemilik akaun Facebook Johar Ismail yang berpeluang berkunjung ke rumah usang lelaki terbabit pada Khamis 10 Jun 2021.

Bertindak atas maklumat tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, bergegas mencari lokasi tempat tinggal lelaki berkenaan untuk membantu menyelesaikan isu tular di media sosial.

Tengku Zaihan berkata, beliau mengambil maklum apa yang dipaparkan oleh Johar menerusi media sosial untuk membantu lelaki terbabit.

Katanya, ketika berkunjung ke rumah lelaki tersebut beliau sendiri terkejut melihat keadaan rumah yang hampir roboh dan memang benar apa yang dipaparkan oleh Johar menerusi catatan di Facebook miliknya.

Tengku Zaihan berkata, kedudukan rumah lelaki itu agak tersorok dan memang tidak ramai yang mengetahui masalah kehidupan hariannya.

Beliau berkata, dia mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu dan sudah mendapatkan sebuah bilik untuk dijadikan penginapan sementara lelaki berkenan.

Katanya, sebelum ini beliau dimaklumkan rumah tersebut dalam keadaan baik, tetapi mengalami kerosakkan selepas beberapa kali ditimpa pokok kelapa.

“Proses berikutnya saya akan berbincang dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mendapatkan sebuah rumah kekal,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *