Pendaftaran vaksinasi di Johor rendah, hanya 27.6 peratus

 Pendaftaran vaksinasi di Johor rendah, hanya 27.6 peratus

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 24 Mac – Jumlah rakyat negeri ini yang mendaftarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat ini masih rendah.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), hanya 784,690 atau 27.6 peratus penduduk Johor sudah mendaftar dalam MySejahtera setakat ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, YB R Vidyananthan berharap semua rakyat Johor berumur 18 tahun ke atas memberi kerjasama dengan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

“Bagi yang tiada akses telefon bimbit, boleh mendaftar menerusi laman web www.vaksincovid.gov.my atau menghubungi talian 1800-888-828.

“Diharap juga pemberian vaksin ini dilaksanakan dengan lancar. Masyarakat diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi sama-sama membendung penularan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 80 peratus penduduknya akan menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Fasa 1 dan 2 program vaksinasi di Johor.

Menurutnya, proses tersebut masih dilaksanakan dengan gigih ketika ini dan mengikut perancangan KKM.

“Sasaran liputan 80 peratus penduduk dimulai dengan petugas barisan hadapan, iaitu kakitangan kesihatan, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), bomba dan sebagainya menerusi Fasa 1 dan diikuti Fasa 2 pada April nanti.

“Hingga semalam seramai 29,548 petugas barisan hadapan telah diberi vaksin. Bagi Fasa 2, kerajaan negeri sedang melaksanakan advokasi pendaftaran vaksinasi menerusi MySejahtera,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  34  =  38