• Sunday, 20 June 2021, 11:17 am

Pendaftaran 1 juta slot vaksin AstraZeneca penuh dalam tempoh 90 minit

 Pendaftaran 1 juta slot vaksin AstraZeneca penuh dalam tempoh 90 minit

KUALA LUMPUR, 26 Mei — Satu juta slot untuk pusingan kedua tempahan janji temu vaksin AstraZeneca bagi rakyat Malaysia berusia bawah 60 tahun yang dibuka tengah hari ini telahpun penuh hanya dalam tempoh 90 minit.

Rata-rata rakyat sememangnya menanti peluang untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin selepas diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada Isnin lalu bermula jam 12 tengah hari.

Walau bagaimanapun, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menerusi Twitter hari ini memaklumkan pembukaan pendaftaran itu lewat 15 minit ekoran halaman tempahan vaksin masih dikemas kini.

Ramai pihak menyuarakan kekecewaan mereka di media sosial disebabkan gangguan teknikal untuk proses tempahan tersebut.

Sepatutnya pihak yang berkenaan seharusnya membuat persiapan rapi kerana permintaan dan keadaan trafik yang tinggi telahpun dijangka berlaku.

Menerusi ciapan Twitter oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 1.27 tengah hari, tempahan janji temu untuk vaksin telah ditutup dan pendaftar yang layak akan menerima tarikh janji temu tidak lama lagi.

Sebelum itu, CITF telah memaklumkan bahawa lebih 300,000 slot untuk vaksinasi AstraZeneca telah ditempah pada jam 12.56 tengah hari, kurang dari satu jam selepas pendaftaran itu dibuka kepada orang ramai.

MySejahtera dalam ciapan di Twitter berasingan pada jam 12.40 tengah hari turut memaklumkan bahawa terdapat pemohon yang mungkin tidak dapat mengakses fungsi aplikasi tertentu berikutan kadar trafik yang tinggi dan menasihati pengguna untuk mendaftar masuk sekali lagi apabila keadaan trafik reda.

Tempahan janji temu AstraZeneca memerlukan pemohon untuk mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan ia boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera, laman web CITF atau melalui talian hotline.

Tempahan vaksin ini dibuka untuk yang berumur 18 tahun ke atas yang tinggal di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *