Pencemaran toksik: JAS Johor sahkan keadaan terkawal

 Pencemaran toksik: JAS Johor sahkan keadaan terkawal

Anggota JAS Johor melakukan pemantauan udara di sekitar Kampung Baru Seri Aman, Kempas hari ini.

JOHOR BAHRU, 15 Sept — Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor mengesahkan keadaan terkini di Kampung Baru Seri Aman, Kempas di sini sudah terkawal dan bertambah baik.

Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusof berkata, hasil cerapan udara yang dilakukan di kawasan tersebut menunjukkan bacaan pada skala 0.6 hingga 1PPM.

“Hasil cerapan yang dibuat, kita dapati ada tiga jenis bahan kimia di udara yang utama. Walau bagaimanapun, bacaan ini sangat rendah menunjukkan bahan kimia dalam ini sangat minimum.

“Kita tetap akan terus membuat pemantauan dalam tempoh 24 jam untuk memastikan bacaan bahan ini tidak meningkat, sekali gus memberi keyakinan kepada penduduk setempat bahawa tempat ini sudah selamat,” katanya selepas meninjau keadaan di kampung berkenaan hari ini.

Dr. Famey memberitahu, pihaknya yakin keputusan sampel tersebut akan diperolehi dalam tempoh segera selepas kes berkenaan mendapat perhatian umum.

Katanya, JAS Johor akan menghantar sampel yang diambil di lokasi yang tercemar akibat sisa buangan industri itu untuk mengenal pasti premis yang membuat pelupusan secara haram.

Katanya, persampelan itu juga bagi mengenal pasti jenis toksik yang dibuang ke dalam tali air berhampiran kampung itu.

“JAS dan polis akan melakukan pemeriksaan susulan ke atas beberapa premis industri berdekatan bagi mengenal pasti punca atau mengesan premis yang membuat pelupusan secara haram,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

30  +    =  33