Pencemaran Sungai Ngulang masih boleh diselamatkan – MNS

 Pencemaran Sungai Ngulang masih boleh diselamatkan – MNS

Warna air Sungai Ngulang dilihat bertukar menjadi hitam beberapa hari lepas

KANGAR, 15 Mac — Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil tindakan segera dalam menangani isu pencemaran sungai di negeri ini bagi memastikan bahawa kualiti air sungai kekal pada paras Kelas 1.

Profesor Dr Ahmad Ismail

Presiden MNS Profesor Dr Ahmad Ismail berkata Sungai Ngulang yang dilaporkan tercemar masih boleh diselamatkan memandangkan tahap pencemarannya didapati tidak seteruk sebagaimana pencemaran yang berlaku di sungai lain.

“Perlis bernasib baik kerana kualiti air di kebanyakan sungai di negeri ini dikategorikan sebagai Kelas 1 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu Indeks Kualiti Air (WQI) berada pada tahap bacaan 92.7 hingga 100.0 selain mempunyai ekosistem yang sihat.

“Kelas 1 bermaksud air sungai tersebut selamat diminum dan hanya memerlukan rawatan air yang sangat minimum serta sesuai untuk menjadi habitat hidupan akuatik,” katanya ketika di hubungi Bernama hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mengambil sampel air di Sungai Ngulang setelah menerima aduan orang ramai mengenai warna air sungai tersebut dilihat bertukar menjadi hitam beberapa hari lepas.

Pihak JAS Perlis telah menghantar sampel air tersebut ke Jabatan Kimia di Alor Setar, Kedah untuk mengenal pasti punca pencemaran dan tidak menolak kemungkinan bahawa punca kecemaran berlaku akibat aktiviti industri dan kegiatan penanaman sawah padi yang berada berdekatan di sepanjang sungai tersebut.

Ahmad berkata kerajaan negeri disarankan agar terus memperkasakan perancangan, pemantauan dan penguatkuasaan udang-undang bagi memastikan sungai di negeri tersebut kekal bersih.

Justeru, katanya kerajaan negeri dan pihak terlibat perlu memastikan bahawa semua pembangunan dan aktiviti manusia dipantau mengikut undang-undang sedia ada.

“Perlu dilihat juga ‘buffer zone’ (zon penampan)  jarak antara sawah dan sungai yang boleh menyumbangkan kepada pencemaran sisa pertanian mengalir secara terus ke dalam sungai,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan negeri mengawal dan memantau kegiatan pembuangan sampah ke sungai, penerokaan hutan di hulu sungai dan memberi pendidikan secara berterusan kepada masyarakat agar mencintai sungai dan bersama-sama menjaga kebersihan sungai.

“Pengalaman tragedi pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada 2019 banyak mengajar kita bahawa kos pemulihan sungai lebih besar berbanding kos pemuliharan, malah ia mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  6  =