Pencemaran air, udara dan bunyi : Dua kilang diarah tutup

 Pencemaran air, udara dan bunyi : Dua kilang diarah tutup

BUTTERWORTH, 4 Mac — Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan dua kilang kitar semula plastik yang beroperasi di kawasan Perusahaan Perai di sini, menghentikan operasi serta-merta semalam selepas mendapati berlakunya pencemaran air, udara dan bunyi.

Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata JAS telah mengeluarkan notis arahan kepada kedua-dua kilang terbabit mengikut Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan pencemaran dan membolehkan JAS menjalankan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati satu daripada kilang itu menjalankan operasi kitar semula sisa plastik tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan premis dilengkapi mesin penghancur plastik serta menghasil resin tersebut telah menyebabkan bunyi bising kepada penduduk berhampiran terutama waktu malam hingga awal pagi.

“Pemeriksaan kami juga mendapati kilang yang mempunyai Lesen Import (AP) sisa plastik itu turut menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan efluen perindustrian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata pemeriksaan JAS di sebuah lagi kilang mendapati pengurusan kilang itu gagal mengendali serta menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara kotak sembur.

Beliau berkata pemeriksaan juga mendapati kilang itu yang menjalankan operasi pengacuan plastik telah menyebabkan punca pencemaran habuk hitam ke kawasan berhampiran premisnya.

Menurut beliau, kedua-dua kilang itu diarah menghentikan operasi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan pada masa sama memastikan pencemaran tersebut dapat dihentikan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 7(3), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  42  =  52