“Penat lelah tolak ketepi, asalkan dapat bantu rakyat dan kerajaan perangi COVID-19”

 “Penat lelah tolak ketepi, asalkan dapat bantu rakyat dan kerajaan perangi COVID-19”

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Memikul pelbagai tugas mengetuai syarikat korporat dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tidak menghalang dirinya untuk berbakti kepada masyarakat menerusi keanggotaan sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menzahirkan semangat Kemerdekaan ke-64, Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA) Datuk Seri Hisham Abdul Wahab berkata segala penat lelah ditolak ketepi dan tidak pernah berputus asa, asalkan bantuan yang dihulurkan ketika bencana wabak pandemik COVID-19 melanda negara, dapat meringankan beban penduduk yang terjejas.

Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA) Datuk Seri Hisham Abdul Wahab

“Wabak COVID-19 adalah bencana kesihatan kepada negara, khususnya yang terkesan adalah ekonomi rakyat.

“Setiap masa, kami dan Team Amal Kazuko bergerak ke kawasan sasaran ketika musim PKP/PKDP, untuk memberi bakul makanan keperluan asas kepada penduduk-penduduk terjejas akibat pandemik ini. Ada yang hilang kerja, ada yang tiada pendapatan dan ada yang tidak ada wang untuk makan.

“Ia suatu yang amat bernilai apabila dapat melihat kegembiraan terpancar jelas di wajah ketika menyantuni mereka sambil memberikan sesi kaunseling,” katanya yang juga Pengerusi Federal Power Holdings, sebuah syarikat kilang bateri solar yang terletak di Jenjarom.

Penasihat Kehormat Team Amal Kazuko, Datin Seri Intan Abdul Hamid menyampaikan bakul makanan kepada penduduk-penduduk terjejas COVID-19 di Indera Mahkota Jaya, Pahang, baru-baru ini.

Beliau berkata usaha membantu memberikan bakul makanan prihatin kepada penduduk-penduduk terjejas akibat COVID-19, mendapat kerjasama daripada NGO Team Amal Kazuko.

Berbekalkan semangat kemerdekaan membantu negara melawan COVID-19, Hisham berkata bantuan itu tidak terhad di kawasan bandar dan luar bandar malah pernah berkunjung ke pendalaman untuk menyantuni penduduk Orang Asli.

“Program menyantuni Orang Asli suku kaum Bateq di Tahan dilakukan secara spontan, selepas kami memberi bantuan keperluan makanan asas di Pejabat DUN Tahan.

Penduduk-penduduk Orang Asli suku kaum Bateq yang tinggal di pesisiran sungai Taman Negara Kuala Tahan, menerima sumbangan bakul makanan baru-baru ini.

“Walaupun kehidupan mereka jauh di pinggar bandar dan terlindung daripada wabak COVID-19, difahamkan mereka akan membeli barangan makanan asas sebulan sekali.

“Mereka gembira sambut kedatangan kami dan bersyukur dengan penerimaan bakul makanan asas yang diberikan untuk mereka,” katanya.

Selain sumbangan bakul makanan asas dan kaunseling setiap kali siri kunjungan yang dilakukan, Hisham berkata pemberian pelitup muka juga turut diberikan kepada warga APM tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan ketika bertugas sejak pandemik COVID-19.

Datuk Seri Hisham Abdul Wahab (kanan) menyampaikan sumbangan 10,000 keping pelitup muka kepada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab di Bangi, baru-baru ini.

Katanya, pemberian ini dibuat agar warga APM dapat menjalankan tugas dengan lebih dedikasi memerangi COVID-19.

“Sumbangan pelitup muka kepada APM tidak berhenti.

“Kita pernah salurkan sebanyak 10,000 keping pelitup muka sebelum ini. Insya-Allah, kami akan bantu setiap masa jika diperlukan,” katanya.

Hisham juga turut melahirkan penghargaan kepada Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab yang sering memberikan semangat dan dorongan untuk dirinya lebih berdisiplin dan prihatin kepada masyarakat.

“Dengan seragam APM yang kita pakai, ia menyemat di hati untuk berkhidmat setiap masa untuk masyarakat dan negara,” katanya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

88  −    =  86