Penantian 20 tahun Orang Asli dapat bekalan elektrik berakhir

 Penantian 20 tahun Orang Asli dapat bekalan elektrik berakhir

KLUANG – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah lebih 70 penduduk Kampung Orang Asli Berasau di Kahang apabila secara rasmi mendapat bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar semalam selepas lebih 20 tahun menantikannya.

Seramai 17 keluarga yang berusia empat hingga 70 tahun di kampung itu sebelum ini bergantung dengan penjana elektrik menggunakan diesel bagi mendapatkan bekalan elektrik selama dua jam setiap hari.

Kehidupan mereka berubah menerusi program Sentuhan Harapan MEKAR Johor@Kluang diusahakan Yayasan Petronas yang membawa ‘cahaya’ untuk  11 rumah, dua rumah adat dan sebuah balai raya di kampung itu.

Yayasan Petronas mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor, penduduk kampung itu dan Yayasan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dalam menjayakan program tersebut.

Menurut Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria, program itu bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi penduduk kampung menerusi penyediaan bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar.

“Kampung Orang Asli Berasau yang terletak 50 kilometer dari bandar Kluang ini merupakan satu-satunya penempatan di Johor yang masih tidak mempunyai akses terhadap rangkaian grid nasional. 

Vidyananthan (empat dari kiri) bersama-sama delegasi melawat rumah adat yang dipasang sistem solar sempena program Sentuhan Harapan MEKAR Johor@Kluang di Kampung Orang Asli Berasau

“Di bawah insiatif solar ini, setiap rumah akan menerima bekalan elektrik asas daripada sumber tenaga solar, bateri boleh dicas semula dan mampu bertahan tiga hari sewaktu musim hujan selain lampu LED, kipas dinding dan beberapa port USB untuk mengecas telefon. 

“Dengan adanya bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar, setiap isi rumah boleh mendapatkan penjimatan sebanyak RM450 setiap bulan, sekali gus mengurangkan bebanan kewangan penduduk kampung,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis dan Tok Batin kampung itu, Sari Achu.

Sazli berkata, komuniti kampung tersebut sudah diajar dan dilatih untuk melakukan penyelenggaraan asas terhadap panel solar untuk memastikan kecekapan dan kemampanannya. 

Selain itu, sistem tenaga solar tersebut juga telah diperiksa dan disahkan oleh pakar teknikal untuk tujuan keselamatan.

Usaha di bawah Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) itu merupakan sebahagian tumpuan pembangunan dan kesejahteraan Yayasan Petronas, selari agenda kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

16  −    =  11