Pemuzik perlu bersatu, isi peluang di hotel

 Pemuzik perlu bersatu, isi peluang di hotel

Oleh Haliza Ahmad

SUDAH lumrah, persatuan artis tanah air tumbuh bagai cendawan selepas hujan dengan slogan membela nasib insan-insan seni. Persoalannya, terbelakah nasib mereka? Persatuan berkaitan seni di tanah air antaranya, Karyawan, Persatuan Seni Artis Kuala Lumpur dan Selangor (Perseni); Persatuan Penyanyi Pemuzik Penulis Lagu Tanahair (PAPITA); Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA); Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN); Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM); Persatuan Kebajikan Artis-Artis India Malaysia (MIEWA) dan Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA).

Pengasas dan Presiden PPM, Francis Danker

Terkini, muncul pula satu lagi pertubuhan baru – Persatuan Pemuzik Malaysia (PPM). Pengasas dan Presiden PPM, Francis Danker yang sejak 1990-an memperjuangkan supaya lebih ramai pemuzik tempatan peluang membuat persembahan di hotel- hotel negara ini mengulas mengapa perlu ada satu entiti khas untuk menjaga kepentingan kumpulan muzik di negara ini.

“Pada awal penubuhannya tahun lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia tidak benarkan kami guna nama Persatuan Pemuzik Malaysia atas alasan kami perlu ada anggota dari seluruh negara. Oleh itu kami namakannya Persatuan Pemuzik Tempatan Selangor (PPTS),” jelas Francis, 72, bekas pemain dram kumpulan Memories.

“Ketika era 70an hingga 90an kita mempunyai Musicians Union of Malaysia (MUM) untuk menjaga kebajikan pemuzik tempatan, selepas ia dibubarkan pada tahun 1996, kita kemudian menubuhkan Karyawan pada tahun 2000 dengan harapan ia boleh menyambung tugas itu,” katanya.

MUM terkubur kerana peraturan yang mewajibkan anggotanya mempunyai pekerjaan tetap, sedangkan kebanyakan pemuzik adalah dalam kategori pekerja sambilan.

“Apabila anggota Karyawan bertambah dan merangkumi pelbagai bidang seni termasuk penyanyi, pelakon, penari, pelawak, penggubah lagu dan penulis lakon layar, kami mula berasa terpinggir kerana fokus lebih diberikan kepada kelompok artis yang lebih glamor. Oleh itu ramai pemuzik meninggalkan Karyawan,” katanya.

Sejak itu, keluhan dan masalah yang dihadapi oleh pemuzik tempatan seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian, kerana tiada satu badan khusus untuk mendengar rintihan mereka.

“Penubuhan PPM adalah untuk memperjuangkan hak dan menyuarakan semua isu yang  dihadapi oleh pemuzik tempatan,” kata Francis.

Seperti peribahasa, bersatu teguh, bercerai roboh, beliau menegaskan semua pemuzik perlu menyertai PPM supaya suara mereka lebih lantang agar mendapat perhatian pihak berkuasa.

“Sekarang PPM mempunyai 500 ahli, tetapi jika lebih ramai sertai PPM, ia akan menjadi lebih kukuh sebagai platform untuk pemuzik membuat persembahan dan menjana pendapatan.

“PPM juga boleh berbincang dengan Persatuan Hotel Malaysia bagi ruang kepada pemuzik tempatan untuk membuat persembahan di hotel apabila kerajaan membenarkan ‘live music’ dipersembahkan semula di hotel,” tambahnya.

Francis berkat,  pemuzik tempatan perlu menonjolkan diri dan memperbaiki persembahan mereka serta mengambil kesempatan atas ketiadaan kumpulan muzik luar negara yang sebelum ini memonopoli kebanyakan hotel di negara ini.

“Inilah masanya kita ketengahkan alat-alat muzik tradisional kita seperti gendang, rebana atau gambus, juga lagu-lagu dan budaya kita. Kita perlu buktikan bahawa pemuzik tempatan juga setaraf dengan kumpulan muzik luar negara,” tegasnya.

Melalui PPM juga Francis berharap lebih ramai generasi muda menceburi bidang muzik dengan masa depan yang lebih cerah.

Demi membantu ahli-ahli PPM yang terkesan akibat pandemik COVID-19, Francis berharap pertunjukan amal Musicians for Musicians Benefit Concert yang tertangguh sejak tahun lalu kerana PKP, dapat diadakan pada waktu yang sesuai berpandukan SOP ditetapkan.

Konsert amal itu yang akan menggabungkan persembahan kumpulan muzik daripada era 70-an sehingga 80-an bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM500,000.

Antara kumpulan yang bakal membuat persembahan ialah Blues Gang; Alleycats; Strollers; Os Pombos; Headwind; Ages; Cellar Hi-Five; Delta; The Falcons; Forever Band; Fredo and the Flintstones; Lefthanded; Heavy Machine; Lord & The Boys; Michael Veerapen;  Friends; Pathfinders; Pieces; Sons of Adam; Albert Sirimal; Bala; Frankie Tan; Leonard Tan; Gerard Singh; Roy & Fran dan Zack; Lyia.

 

Penulis ialah mantan Pengarang Hiburan Malay Mail.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  3  =  7