PEMULIH dan Moratorium mampu merancakkan ekonomi tempatan

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Inisiatif terbaharu diumumkan kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mampu merancakkan ekonomi tempatan selain membantu untuk merangsang semula pasaran saham tempatan.

Prof. Madya Datuk Dr. Muhammad Hussin dari Pakar Ekonomi & Kajian Inovasi Pembelajaran & Pengajaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dana yang disuntik kerajaan untuk inisiatif PEMULIH adalah cukup besar untuk merancakkan ekonomi tempatan.

Menurutnya, pakej rangsangan sedemikian adalah sesuatu yang diperlukan kerana ia akan menambah tunai di dalam sistem ekonomi negara selain mampu membantu meringankan beban rakyat pada zaman pandemik ini.

“Ekonomi negara kini dalam proses pembaikan dan ianya bertambah baik meskipun dalam keadaan perlahan.

“Inisiatif seperti ini perlu diteruskan lagi namun harus di tahap di mana kerajaan tidak lagi perlu menggunakan rizab negara,” katanya kepada Wacana.my.

Tambah beliau, simpanan rizab negara adalah amat penting dan hanya perlu dipakai sekiranya berlaku kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

“Mungkin apabila keadaan sudah bertambah baik atau kembali normal, kerajaan tidak lagi perlu menggunakan rizab negara sebaliknya guna apa yang ada,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan moratorium yang diumumkan 28 Jun lalu mempunyai konsep yang sama seperti yang diumumkan tahun lepas.

Ini bermakna sesiapa yang tidak terjejas pendapatannya turut diberi pilihan jika hendak memohon atau tidak.

Selain itu, beliau turut menegaskan bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium.

“Dalam perjumpaan bersama bank baru-baru ini, kerajaan telah membangkitkan perkara tersebut dan bank bersetuju untuk melaksanakannya.

“Fokus moratorium adalah untuk membantu aliran tunai bagi mereka yang terkesan, golongan B40, M40 dan T20. Inilah, masa kita turun padang, inilah yang mereka mahukan.

“Permohonan moratorium boleh dibuat secara dalam talian, pergi ke cawangan dan mereka mendapat kelulusan secara automatik, tidak ada pertanyaan, tidak ada borang,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya ada bank mengenakan faedah terkompaun dan penalti, peminjam boleh membuat aduan kepada pihak berkaitan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

66  −  62  =