PEMULIH: Bantuan khas miskin tegar, B40 dan M40

 PEMULIH: Bantuan khas miskin tegar, B40 dan M40

KUALA LUMPUR, 28 Jun — Lebih 11 juta isi rumah dan warga emas serta golongan bujang akan mendapat manfaat penuh Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang diumumkan kerajaan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bantuan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion itu akan mula diberikan pada Ogos ini.

“Isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos, RM500 pada bulan November, dan RM300 pada bulan Disember.

“Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 ringgit pada bulan Ogos dan RM300 ringgit pada bulan November 2021,” katanya pada pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Tambah beliau, bagi kategori isi rumah B40 pula,  bantuan sebanyak RM500 akan diberikan pada Ogos dan RM300 pada Disember, manakala golongan bujang B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.

“Isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 ringgit pada bulan Ogos nanti,” jelasnya.

Menurut Muhyiddin, berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Perkeso tahun 2021, pekerja yang kehilangan punca pendapatan akan menerima bantuan sebanyak RM500.

Di samping itu, Tan Sri Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.

“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik.

“Baik Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan.

“Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

24  −    =  20