• Sunday, 20 June 2021, 12:10 pm

Pemuda PN cadang lima perkara ketika ‘total lockdown’

 Pemuda PN cadang lima perkara ketika ‘total lockdown’

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Keputusan kerajaan mengumumkan penutupan penuh (total lockdown) sektor ekonomi dan sosial disambut baik Pemuda Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pelaksanaan total lockdown bermula 1 Jun depan sehingga 14 Jun dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai sudut terutama jumlah kes aktif menjangkau 70,000 kes.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pemuda PN, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin mencadangkan lima bantuan oleh kerajaan untuk rakyat sepanjang tempoh tersebut.

Cadangan itu termasuk Skim Bantuan Bersasar B40 dan M40,  Moratorium Automatik tanpa cas faedah selama dua bulan, Subsidi Upah Pekerja, Suntikan Tunai buat usahawan IKS, dan mengurangkan rancangan televisyen berunsur maksiat dan penuhi rancangan televisyen dengan program pengisian keagamaan serta pendidikan.

Khairil Nizam turut berkata, pelaksanaan total lockdown ini bertepatan dengan keadaan semasa.

“Kerajaan juga harus peka dengan perihal keperluan asas demi kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Menurut Khairil Nizam kerajaan hari ini sememangnya terkenal dengan sikal pemimpin yang prihatin.

“Diharapkan bantuan oleh kerajaan dapat memberi penekanan manfaat buat semua golongan masyarakat,” katanya.

Pemuda PN turut menggesa semua pihak dapat bekerjasama sepenuh hati dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 di negara ini.

Beliau turut menyarankan rakyat agar menjimatkan perbelanjaan dan tidak boros.

“Kita mesti bangkit dan jangan berputus asa jika tidak mahu negara berdepan dengan krisis ekonomi pula pada masa hadapan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *