Peminat sukan kecewa RTM tiada liputan Sukan Paralimpik Tokyo 2020

 Peminat sukan kecewa RTM tiada liputan Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Perarakan masuk Kontinjen Malaysia semasa acara pembukaan sukan tersebut malam tadi. Kontinjen Malaysia diwakili 22 atlet yang akan menyertai 9 jenis sukan.

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Para peminat sukan tanah air meluahkan kekecewaan apabila stesen RTM tidak mendapat hak bagi menyiarkan sebarang liputan sepanjang Sukan Paralimpik XVI Tokyo 2020.

Semalam, Jabatan Penyiaran Malaysia mengesahkan RTM tidak dapat menyiarkan temasya tersebut kerana tertakluk kepada isu pemegang hak penyiar rasmi, Olympic Broadcasting Services.

Edisi ke-16 Sukan Paralimpik itu berlangsung hari ini dirasmikan Maharaja Naruhito di Stadium Nasional Jepun setelah setahun ditunda akibat penularan pandemik COVID-19.

Seramai 4,537 atlet dari 163 negara menyertai kejohanan itu sehingga 5 September ini yang melibatkan 539 acara dalam 22 jenis sukan dengan kawalan ketat susulan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, ketiadaan liputan stesen RTM untuk temasya berkenaan turut mencetuskan persoalan mengenai fungsi sebenar saluran Sukan RTM yang baru dilancar pada 1 April lalu.

Sebaliknya, sukan tersebut hanya dapat disaksikan eksklusif menerusi saluran televisyen berbayar satelit terkenal yang tidak mampu dilanggani oleh golongan rakyat berpendapatan B40.

“Kenapa RTM tidak buat siaran langsung di TV ya, pilih kasih ke?,” kata pengguna media sosial dengan nama Azhari Geogre Azhari.

Sementara itu seorang lagi pengguna media sosial, Nurul Zulkifli turut meluahkan perasaan hampa setelah mendapati tiada liputan mengenai Sukan Paralimpik kali ini.

“Kenapa RTM dan Astro tiada live? Sangat mengecewakan,” katanya.

Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan menyahut cabaran mengibar Jalur Gemilang dalam sembilan jenis sukan disertai kontinjen negara, pada temasya berprestij di Jepun itu.

Sukan Paralimpik Tokyo akan dibuka secara rasmi malam tadi dan berakhir pada 5 September.

Bagi edisi sebelumnya yang berlangsung di Rio, atlet negara berjaya membawa pulang dua pingat emas melalui Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru sekaligus mencipta rekod dunia baharu bagi acara tersebut.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  6  =