• Sunday, 20 June 2021, 9:14 am

Peminat jangan lempar kecaman pada skuad Harimau Malaya

 Peminat jangan lempar kecaman pada skuad Harimau Malaya

Pemain Malaysia, Guilherme De Paula Lucrecio (kiri) dihalang oleh pemain UAE dalam pertemuan mereka untuk Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel. WMY/Adli Ghazali

KUANTAN, 6 Jun – Peminat bola sepak negara tidak seharusnya terlalu cepat melatah apabila melihat skuad Harimau Malaya tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, kelmarin.

Ini ditegaskan bekas pemain negara Datuk Jamal Nasir Ismail yang berpendapat kritikan pedas secara berlebihan tidak mungkin dapat meningkatkan prestasi pemain yang akan turun pada beberapa perlawanan lagi selepas ini.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail.

“Melemparkan pelbagai kritikan sumbang memang mudah kerana kebanyakan individu bertindak demikian cetek dalam sukan bola sepak, mereka hanya bercakap atas dasar penilian dari kaca mata sendiri yang seolah melepas geram disebabkan pasukan negara tewas.
“Sekiranya skuad Harimau Malaya menang atau seri pada perlawanan dengan UAE kelmarin, hampir pasti pujian mengunung diterima barisan pemain.

“Menjadi lumrah peminat bola sepak negara yang hanya dapat menerima pasukan negara apabila kemenangan diraih, sekiranya tewas pemain serta jurulatih seolah tidak bererti lagi,” katanya, di sini hari ini.

Dari kaca mata bekas pemain negara beliau berkata, kegagalan pasukan kebangsaan keatas UAE berlaku disebabkan beberapa kelemahan yang masih boleh dibaiki oleh barisan sebelum mereka berhadapan pencabar lain selepas ini.

Katanya, menang atau tewas adat perlawanan yang perlu diterima oleh semua pihak, episod tewas 0-4 keatas UAE berlaku disebabkan banyak faktor bukan disebabkan kehadiran pemain tertentu.

“Sebagai contoh persediaan singkat pasukan juga turut menjadi antara faktor kekuatan pasukan tidak dapat diterjemahkan, agak mustahil dalam masa dua minggu berlatih dan mengharungi dua perlawanan persahabatan pemain dapat membentuk persefahaman yang diharapkan.

“Saya masih ingat ketika pasukan negara meniti kejayaan gemilang melangkah layak bersaing ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Olimpik Moscow 1980, masa diambil untuk membentuk skuad berkenaan lama dengan barisan pemain yang sama.

“Pasukan berkenaan juga turut menyertai beberapa pertandingan diperingkat antarabangsa, bukan perlawanan tertumpu pada aksi persahabatan sahaja,” katanya.

Jamal Nasir berkata, peluang pasukan negara masih ada sekiranya pemain dapat mencatat kemenangan pada baki perlawanan selepas ini, pemain jangan putus asa sebaliknya bangkit membuktikan kebolehan sebenar.

Tambahnya lagi, kelibat pemain naturalisasi perlu lebih berkesan dengan membentuk gandingan lebih mantap dengan pemain tempatan, jurulatih Tan Cheng Hoe perlu mencari formula terbaik menghasilkan pasukan terbaik.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *