• Friday, 18 June 2021, 1:46 am

Pemilik kilang dikompaun RM10,000 benar ramai pekerja

 Pemilik kilang dikompaun RM10,000 benar ramai pekerja

JOHOR BAHRU, 10 Jun – Tindakan membenarkan terlebih ramai pekerja dalam satu masa pengoperasian menyebabkan pemilik kilang di kawasan Permas Jaya, di sini dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, hasil pemeriksaan hari ini mendapati kilang itu melakukan kesalahan, iaitu melanggar kapasiti pekerja yang dibenarkan melebihi 60 peratus.

Katanya, kesalahan dilakukan pemilik kilang itu dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Ketua Polis Balai Permas Jaya, Inspektor Thian Bui Pin bersama-sama pasukan tindakan khas Covid-19 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Pemantauan yang dijalankan itu juga disertai oleh wakil agensi kerajaan negeri Johor seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Hasil pemeriksaan ke salah sebuah kilang di kawasan perindustrian berkenaan mendapati jumlah pekerja yang menjalankan operasi kilang itu melebihi had 60 peratus yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pengurus Sumber Manusia kilang tersebut telah ditahan dan dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan bagi tindakan kompaun di bawah kesalahan peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan kepada individu dan pemilik kilang supaya mematuhi SOP PKP 3.0 yang telah ditetapkan oleh MKN.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *