• Sunday, 20 June 2021, 9:13 am

PEMERKASA PLUS bantu redakan cabaran PKP

 PEMERKASA PLUS bantu redakan cabaran PKP

KUALA LUMPUR, 2 Jun. – Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tentang pakej PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA PLUS sebagai inisiatif baharu kerajaan meredakan cabaran gelombang terbaru pandemik COVID-19 diterima baik rakyat dan dilihat sebagai ‘penyelamat’ yang dinanti-nantikan.

Program ini, yang antaranya merangkumi bantuan wang ringgit menerusi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), diskaun serta moratorium bayaran ansuran pinjaman, diskaun bil elektrik dan pemberian Geran Khas Prihatin (GKP), sedikit sebanyak dapat meredakan kegusaran orangramai diwaktu ‘total lockdown’ yang bermula semalam.

Jason Lim

Jason Lim, 49, seorang jurujual kenderaan di Glenmarie berkata, “Sejak wabak COVID-19 bermula dan PKP dilaksanakan tahun lalu, memang jualan kereta terkesan sehingga 60 peratus.

“Inisiatif pengecualian cukai jualan yang dilaksanakan sebelum ini banyak membantu meningkatkan minat pembeli untuk membeli kereta sebelum ini,” tambah Jason. “Jadi pengumuman Perdana Menteri semalam untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan hingga bulan Disember itu amat kami hargai.”

Jason juga berkata beliau, seperti ramai rakyat Malaysia lain berharap institusi-institusi kewangan dapat menyambut seruan kerajaan untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk menangguhkan bayaran ansuran pinjaman mereka. “Kemudahan seperti moratorium sememangnya dapat memberikan kami sedikit ruang untuk bernafas sementara kita semua melalui tempoh yang sukar ini.” katanya kepada Wacana.my.

Sementara itu, menurut Amnan Musa, 26, pemberian BPR sebanyak RM100 sedikit sebanyak dapat meringankan kos membeli barang-barang keperluan semasa ‘total lockdown’.

“Penambahan wang bantuan BPR ini amat dialu-alukan rakyat terutamanya golongan B40 yang paling ketara terjejas akibat pandemik ini. Namun kalau diikutkan, RM100 yang golongan dapat ini tidak cukup jika PKP kali ini mengambil masa lebih 2 minggu.

“Jika dilanjutkan, saya berharap bantuan ini diberikan sekali lagi supaya golongan bujang dapat meneruskan kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Firdaus Abd Rani, 34, seorang pemilik kedai gunting rambut di Gombak berkata, lanjutan moratorium itu amat dialu-alukan kerana ianya memberikan masa kepada kami untuk menguruskan kewangan pada waktu yang sukar ini.

“Walaupun dengan bantuan BPR dan lanjutan BPR, kami peniaga tetap harus mencari rezeki lain kerana kos penyelenggaraan kedai tetap harus dibayar. Bukan sahaja membayar sewa kedai malah sewa rumah pun saya tetap kena bayar, jadi kerja tetap kena dibuat untuk terus hidup,” katanya kepada Wacana.my.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *