Pemburu tapah di Long River

 Pemburu tapah di Long River

Antara tapah terbesar seberat 50 kilogram yang pernah ditangkap oleh Kamarul

Oleh Mohd Kamal Ahmad

SABAK BERNAM: Kalau bukan calang-calang sabar, seorang pemancing yang mahu memburu tapah (Wallago attu) hanya akan berputih mata walaupun berjam-jam di lubuk  dan pulang ke pangkalan dengan tangan kosong.

Bukan semua orang tahu dan tidak semua orang sanggup memancing tapah yang disifatkan sebagai spesies paling remeh dan sukar untuk dijinakkan. Perlu ada ‘ilmu’ untuk menundukkan ikan gergasi itu yang juga mendapat nama julukan helicopter fish.

Namun bagi Kamarul Azami Zakaria, 49, memancing tapah di Sungai Bernam bukan kerja rutin. Beliau akan bertolak dari rumah di Kampung Gertak Tinggi, Sabak Bernam kira-kira 30 kilometer menuju pangkalannya di Kampung Belia Dua, Sungai Panjang untuk menyantuni penyewa botnya.

Kamarul dengan hasil tangkapan ikan tapah bersaiz mega di pangkalan Sungai Panjang di Sungai Bernam.

Jika khidmatnya sebagai tekong tidak diperlukan, beliau akan turun ke sungai bersendirian memburu tapah, udang galah dan ikan-ikan lain di Sungai Bernam.

Kata beliau, tapah ada karektor tersendiri. tapah bersaiz kecil hingga 3 kilogram gemar bermain dan melibas di permukaan air. Bagi tapah purata 5 kilogram pula jarang-jarang timbul. Manakala tapah bersaiz besar lazimnya bermain-main di tengah sungai.

Memancing tapah juga perlu persiapan rapi. Tali utama lazim digunakan ialah 40 atau 50lb dengan mata kail nombor 8.  Perembut pula 50 hingga 80lb.

Tapah terbahagi kepada dua jenis bemban yang purata 3 kilogram dan tapah  bersaiz besar dan biasanya warna kuning kerana dipengaruhi air di persekitaran.

Rekod tangkapan tapah terberat beliau ialah 50 kilogram pada 2018 lalu. Tapah Long River menggemari umpan ikan seperti keli dan menggunakan teknik pancingan dasar. Namun ada pemancing menggunakan kaedah casting, memasang pelampung dan lebih ‘gila’ akan melakukan tundaan atau trolling.

Berbaloi dengan masa, ketekunan dan kesabaran yang dicurahkan, harga tapah gred A mencecah sehingga RM45 sekilogram dan RM35 hingga RM38 bagi gred lebih rendah.

Namun harga udang galah gred A ialah RM80 sekilogram dan ikan ketutu (hidup) RM85 terus menduduki kedudukan teratas carta antara hasil sungai yang termahal.

Sementara itu, bot-bot Kamarul berukuran 12 hingga 17 kaki dilengkapi enjin 4HP hingga 15HP, ditambat di Pangkalan Sungai Panjang iaitu pangkalan persendirian yang dibina tahun lalu. Dalam Facebook, beliau menyebut perairan sungai di sekitar pangkalannya sebagai Long River. Beliau turut menyediakan sebuah rumah untuk pelanggannya makan, mandi, solat dan berehat.

Sungai Bernam dihuni tapah, udang galah, baung, belida dan selat. Semakin ke arah hulu, sungai itu dihuni tengalan, sebarau dan kelah.

Harga tapah gred A mencecah sehingga RM45 sekilogram dan RM35 hingga RM38 bagi gred lebih rendah.

“Pada tahun 1980-an, tapah di sini mencecah 50 hingga 60 kilogram. Namun pencemaran sisa kilang dan pembinaan Empangan Gedangsa menyebabkan jumlah tapah merosot. Tapah biasanya bergerak mudik ke atas masa kemarau untuk menghempas,” katanya kepada Wacana.my.

Memancing tapah bermula pada 2010 sebagai hobi, Kamarul kini menumpukan hampir sepenuh masa mengusahakan bot sewa untuk pelanggannya yang datang dari seluruh negara dan Singapura sebagai sumber mata pencarian. Beliau juga menjual hasil tangkapan udang galah dan ikan kepada peraih serta penduduk setempat.

Sungai Bernam juga tempat nelayan sungai memasang belat untuk memerangkap udang galah dan ikan. Ambai dan candit pula dipasang untuk memerangkap udang galah.

Bagi Kamarul, beliau turut memasang tajur dan belat namun tidak berminat untuk menjala kerana faktor keselamatan.

“Namun sebagai hambaNya, berilah salam dan ucapkan selawat apabila hendak turun ke sungai. Pasang niat untuk mencari rezeki. Jika terserempak benda yang lain (kilasan lembaga), bacalah ayat Quran dan kalau tak sanggup lama di situ, cepat-cepatlah berpindah ke lokasi lain,” katanya dengan nada berseloroh tetapi menegaskan, supaya kita menjaga mulut dan sentiasa beringat.

Sungai Bernam turut dihuni buaya tembaga, buaya katak dan buaya julung tetapi masing-masing tiada rekod mengancam manusia buat masa ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +    =  16