Pembukaan semula jalan utama di Putrajaya manfaatkan penduduk, peniaga

 Pembukaan semula jalan utama di Putrajaya manfaatkan penduduk, peniaga

PUTRAJAYA, 10 Sept — Perjalanan penduduk Putrajaya dan kawasan yang bersempadanan dengannya di Selangor kini kembali pantas dan dekat dengan pembukaan semula laluan utama menghubungkan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu setelah ditutup ketika pelaksanaan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mohd Nurhafiz Johari, 37 yang tinggal di Kampung Dato Abu Bakar Baginda di Jalan Sungai Merab yang bersempadan dengan Presint 14 Putrajaya berkata beliau berulang alik sejauh 30 kilometer untuk urusan di Putrajaya ekoran penutupan jalan yang bersempadanan sejak Jun lepas.

“Saya bekerja di Putrajaya dan sebelum jalan sempadan tutup kalau nak berulang-alik hanya enam kilometer saja,” katanya.

Jelasnya, ia akan turut memudahkan perjalanan jiran-jirannya terutama golongan berumur yang biasanya ke klinik Presint 14 bagi mendapat rawatan selain peniaga kecil dan penghantar makanan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A.Asmadi Abdul Aziz bersama timbalannya Supt Mohd Hafiz Samsudin memantau penutupan sekatan jalan raya (SJR) dan kerja membuka semula penghadang jalan di beberapa laluan di Putrajaya oleh pihak Perbadanan Putrajaya, malam tadi.

Empat SJR statik di Putrajaya yang ditamatkan ialah di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil (Presint 5), Pintu 2A Persiaran Utara menghala keluar ke Hospital Serdang (Presint 12) dan Pintu 3 Persiaran Utara menghala keluar ke Puchong (Presint 9).

Sejak Jun lepas, 10 laluan utama di sekitar Putrajaya ditutup susulan pelaksanaan fasa pertama PPN antaranya Jalan P11J menghala keluar dan masuk Cyberjaya (Presint 11), Jalan P14 menghala keluar dan masuk Sungai Merab di Bangi (Presint 14), Pintu Satu menghala keluar dan masuk Presint 14 dan Lebuh Sentosa menghala keluar MEX.

Pengerusi Sub Zon 5 Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya Mohd Fu’ad Yahya berkata pembukaan semula jalan utama keluar masuk Putrajaya akan memanfaatkan penduduk serta peniaga.

“Pembukaan semula ini akan memberi lebih banyak kemudahan terutama penduduk Presint 14 dan mereka yang bekerja di Kajang dan Bangi yang selalu menggunakan jalan pintas ini. Bagi peniaga, ia pasti akan merancakkan semula aktiviti perniagaan mereka,” katanya.

A.Asmadi dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 walaupun kelonggaran diberikan.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

67  −    =  63