Pembukaan semula bazar Ramadan sebuah nikmat

 Pembukaan semula bazar Ramadan sebuah nikmat

Bazar Ramadan TTDI, KL sentiasa menjadi pilihan warga kota mendapatkan juadah berbuka puasa di bulan Ramadan.

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Selepas setahun tertangguh, ternyata rakyat Malaysia berasa lega dengan pengumuman kerajaan meluluskan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Pengerusi Persatuan Masa Depan Usahawan Melayu (MAFEA), Muhammad Affendi Mohd Dilif berkata, pembukaan semula bazar Ramadan itu sedikit sebanyak dapat memulihkan ekonomi tempatan negara.

Muhammad Affendi Mohd Dilif

“Pembukaan semula bazar Ramadan ini sedikit sebanyak dapat membantu peniaga-peniaga yang terjejas teruk akibat COVID-19 untuk ‘membina semula’ hidup mereka selepas tahun 2020 yang sukar.

“Anak-anak muda harus bijak mengambil peluang keemasan ini untuk mencuburi dalam bidang perniagaan,” katanya kepada Wacana.my.

Tambahnya, walaupun diberikan kebenaran beroperasi, peniaga perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) digariskan MKN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyekat penyebaran COVID-19.

Selain itu, beliau juga mengharapkan pengunjung bazar Ramadan turut mematuhi SOP ditetapkan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam penjagaan SOP supaya berita baik ini dapat berterusan hingga COVID-19 berjaya ditewaskan.

“Saya tahu semua orang tidak sabar untuk ke bazar Ramadan tahun ini kerana tidak dibenarkan tahun lepas, tetapi kita harus mengawal diri ketika mengunjungi bazar Ramadan bagi mengelak terjadi sebarang kluster,” katanya.

Muhammad Affendi berkata, pihaknya berasa lega sebaik kerajaan memberikan lampu hijau kepada peniaga bukan makanan yang menjual persiapan Aidilfitri seperti pakaian, biskut dan hiasan.

Selain itu, beliau juga memuji tindakan kerajaan dalam memastikan keselamatan negara hingga bazar Ramadan dibenarkan beroperasi semula.

“Apabila bazar ramadan dibenarkan untuk beroperasi semula, ia merupakan tanda yang baik bahawa wabak COVID-19 ini mampu dikawal oleh kerajaan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memberi peluang serta kebenaran kepada negeri-negeri lain di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk meniaga di bazar Ramadan.

Sementara itu, menurut peniaga bazar Ramadan di Jalan Selasih 2, Gombak di sini, Firdaus Syamsudin, 26, turut berasa bersyukur sebaik pengumuman kerajaan membenarkan mereka berniaga pada Ramadan tahun ini.

Firdaus Syamsudin

“Saya berniaga di bazar Ramadan Jalan Selasih 2 sejak 2010 dan pastinya memberi kelegaan buat kami untuk menambah pendapatan selepas tahun lalu kami tidak dibenarkan berniaga.

“Difahamkan, hanya beberapa tapak dibenarkan berniaga di sini berikutan SOP yang ketat seperti penjarakan sosial serta fizikal.

“Jika dilihat dari sudut lain, ianya adalah berita baik kepada peniaga kerana kurang persaingan,” katanya.

Umat Islam dijangka akan menjalani ibadah puasa bermula 13 April depan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  3  =