Pembukaan empat pintu sempadan baharu rancak semula ekonomi

 Pembukaan empat pintu sempadan baharu rancak semula ekonomi

Oleh Nurman Nasyriq

KOTA TINGGI – Pembukaan empat pintu sempadan antarabangsa baharu negara mampu merancakkan semula ekonomi bermula tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya telah bersedia untuk menerima kemasukan pelancong luar negara selepas pengumuman pembukaan pintu sempadan termasuk di Terminal Feri Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor.

Menurutnya, tiga lagi pintu sempadan antarabangsa, iaitu di Teluk Malano dan Baleh di  Sarawak dan Silika, Terengganu kini dalam pembinaan.

“Di Sarawak dalam pembinaan, Terengganu tidak lama lagi dalam tahun ini atau awal tahun depan dibuka juga dalam pembinaan yang telah bermula bulan Julai lalu.

“Semua kemudahan dalam pembinaan. Insya-Allah akan digunakan secepat mungkin. Ini kerana kita hendak memberi ruang orang masuk dan dari segi sektor ekonomi berjalan lancar.

“Setakat ini di Sarawak ada masalah sebab ia melibatkan kawasan begitu pedalaman sangat menyebabkan hubungan pintu masuk dan jalan besar ada isu. Namun baru-baru ini saya ada bincang dengan kerajaan negeri Sarawak, ia boleh selesai dan kita akan umumkan secepat mungkin,” katanya selepas melakukan lawatan ke Terminal Feri Desaru Coast, di sini Johor hari ini.

Media melaporkan kerajaan kini dalam usaha mewartakan pintu masuk imigresen baharu melibatkan laluan laut di Sabah dan Terengganu selain laluan darat di Sarawak.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, sistem yang digunakan di Terminal Feri Desaru Coast adalah yang tercanggih dan tidak pernah digunakan dan dibuat oleh syarikat yang dimiliki rakyat Malaysia.

Katanya terminal tersebut bakal menggunakan sistem E-Gate Automatik pertama dalam negara yang akan menjadikan pemeriksaan imigresen lebih pantas dan efisien.

“Terminal Feri Desaru Coast ini akan jadi tumpuan bagi mereka yang masuk dari Singapura dan Batam.

“Ini adalah strategi dalam memberi peluang ekonomi bukan sahaja untuk Desaru tetapi negeri Johor sendiri.

“Saya harapkan pada Tahun Baharu Cina mereka sudah boleh buat tempahan bukan sahaja melibatkan tempat-tempat seperti hotel tetapi kita hendak beritahu semua rakyat dalam Johor untuk terima pelancong dalam negeri ini,” katanya

Irmamusliana Mustajab

emma@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  1  =