Pembukaan ekonomi lebih yakin pada separuh kedua 2021

 Pembukaan ekonomi lebih yakin pada separuh kedua 2021
Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Situasi jangkitan COVID-19 masih lagi menjadi persoalan utama apabila membicarakan hala tuju ekonomi negara. Ia sememangnya tidak boleh dipandang enteng berikutan kesannya yang boleh membawa maut. Kita juga sudah tentu tidak mahu kembali kepada suasana yang pernah kita alami tahun lalu apabila pergerakan manusia begitu terbatas sehingga menyebabkan ekonomi hampir lumpuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merudum 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi yang kini telah pun mula menampakkan tanda-tanda pemulihan yang positif.

Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan pada 17 Mac yang lalu adalah pakej rangsangan kedua diumumkan tahun ini.

Jumlah rangsangan ekonomi kali adalah RM20 billion yang melibatkan suntikan langsung daripada kerajaan berjumlah RM11 billion. Seperti pernah kita saksikan pada pakej yang diumumkan sebelum ini, kerajaan sentiasa mengambil kira golongan rentan seperti mereka yang berpendapatan rendah, isu berkaitan pekerjaan serta aliran tunai di kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro. Tidak ketinggalan, golongan wanita yang menjadi usahawan yang mana pakej rangsangan disediakan bagi membantu mereka ini melalui arus perubahaan norma baharu seperti ekonomi digital.

Berdasarkan trend semasa, mungkin ramai berasa hairan mengenai kekerapan pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang mana sebelum kita telah menyaksikan pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia atau PERMAI diumumkan pada 18 Januari lalu. Respon mudah kepada kepada persoalan ini adalah kita belum menang dalam usaha untuk memerangi penularan wabak COVID-19. Walaupun jumlah kes jangkitan baru menurun tetapi parasnya masih lagi tinggi. Ketika kita menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada 18 Mac 2020, angka jangkitan yang mencecah ratusan pun sudah cukup membimbangkan kita semua. Oleh itu, angka jangkitan yang masih lagi berlegar-legar dalam sebutan ribu adalah sesuatu yang tidak boleh kita banggakan. Bahkan ia sepatutnya menjadi suatu kerisauan sekiranya angka tersebut tidak berganjak dari paras yang tinggi.

Disebabkan ini, ekonomi negara masih lagi memerlukan segala bentuk sokongan terutamanya daripada pihak kerajaan bagi memastikan nasib mereka yang masih lagi terkesan akibat penularan wabak COVID-19 akan terus terbela. Meskipun sentimen pasaran modal seperti pasaran saham dan bon sudah menunjukkan peserta pasaran seolah-olah beranggapan bahawa ekonomi sedang menjalani proses pemulihan, namun kita masih perlu berwaspada dan tidak alpa dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik ini. Angka-angka ekonomi masih lagi agak bercampur-campur untuk kita membuat satu kesimpulan yang jelas terhadap suasana ekonomi yang sedia ada dan prospek yang bakal kita lalui bagi tempoh seterusnya. Contoh, kadar pengangguran dilihat meningkat ke paras 4.9 peratus pada Januari lalu di mana 778,000 orang’ menganggur.

Jika kita mengandaikan jumlah yang mengganggur ketika negara mencapai guna tenaga penuh atau dipanggil pengangguran geseran, parasnya adalah kira-kira 500,000 orang. Ini bermakna hampir 300,000 orang yang menganggur yang disebabkan faktor kejutan ekonomi seperti pandemik.

Dari sudut aktiviti pengeluaran pula, Indeks Pengeluaran Industri atau IPI mencatatkan pertumbuhan yang sedikit perlahan pada Januari lalu iaitu 1.2 peratus berbanding 1.7 peratus yang direkodkan bagi Disember 2020. Ia banyak disumbang oleh penguncupan didalam sub indeks seperti dan elektrik yang mana kedua-dua sub indeks ini menguncup 4.5 peratus dan 4.6 peratus. Manakala sub indeks terbesar iaitu sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan positif 3.5 peratus bagi Januari lalu. Namun, angka tersebut perlahan berbanding 4.1 peratus yang dicatatkan pada Disember lalu. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa langkah PKP sememangnya akan menjejaskan prestasi ekonomi negara.

Berdasarkan fakta tersebut, beberapa langkah bagi meyokong pertumbuhan ekonomi seperti bayaran tunai one-off dilihat dapat meringankan beban kewangan bagi mereka yang berpendapatan rendah dan masih tidak mempunyai pekerjaan. Selian itu, pakej rangsangan ekonomi ini juga dijangka membantu para PKS dan pengusaha mikro dalam sektor-sektor seperti peruncitan, perdagangan, penginapan dan perhotelan yang masih lagi terkesan akibat daripada aktiviti ekonomi yang terhad. Pelaksanaan Prosedur Standard Operasi (SOP) sememangnya memberi kesan kepada kecekapan perniagaan serta meningkatkan kos operasi. Sehubungan itu, program subsidi upah, geran-geran perniagaan serta pakej pembiayaan mikro seharusnya dapat melegakan pengurusan wang tunai terutamanya dari aspek modal pusingan. Tidak kurang juga program latihan ada disediakan bagi yang ingin menambahbaik tahap kemahiran mereka. Oleh itu, pakej rangsangan yang diumumkan sememangnya cuba mencari suatu titik keseimbangan antara keperluan jangka pendek, sederhana dan panjang.

 


“Memang diakui, kerajaan perlu merangka strategi pemulihan yang tuntas serta perlaksanaan yang konsisten. Bagaimanapun, kerajaan hanya sebahagian daripada unsur di dalam sesebuah ekonomi itu. Selebihnya, isi rumah dan peniaga atau usahawan perlu menggembeleng tenaga dan sumber yang ada ke arah yang lebih produktif dan berdaya saing.”


Memandangkan isu utama yang dihadapi adalah penularan wabak COVID-19 yang boleh membawa maut serta merencatkan aktiviti ekonomi, peningkatan peruntukan program vaksinasi daripada RM3 billion kepada RM5 billion seharusnya dapat mempercepatkan proses itu.Kerajaan juga telah menyemak semula sasaran bagi mencapai imuniti berkelompok daripada suku pertama 2022 kepada Disember 2021. Sekiranya apa yang dirancangkan ini berjalan seperti diharapkan, proses pembukaan ekonomi boleh berlaku dalam keadaan yang lebih meyakinkan pada separuh kedua 2021. Ini adalah disebabkan faktor pelaksanaan program vaksinasi akan menyebabkan risiko jangkitan dapat dikurangkan. Oleh itu, amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mendaftarkan pada kadar segera supaya program vaksinasi ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menuju ke hadapan, kita sepatutnya tidak perlu berasa hairan jika akan ada lagi pengumuman berkaitan pakej rangsangan ekonomi. Ini disebabkan suasana ekonomi yang kita hadapi sekarang mempunyai tahap ketidakpastian yang amat tinggi. Selain itu, krisis kesihatan awam ini adalah berbeza dengan krisis kewangan yang pernah kita alami pada 1998 dan 2009. Bayangkan, kali terakhir kita menghadapi krisis kesihatan awam pada skala global adalah pada 1918 apabila dunia dikejutkan dengan penularan wabak Spanish Flu. Jumlah yang terkorban dikatakan mencecah 50 juta orang yang mana di Malaya pada ketika itu, angka kematian menghampiri 35,000 orang.
Sudah tentu situasi yang kita hadapi buat masa ini bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan. Ia sememangnya memakan masa yang agak lama untuk dipulihkan. Oleh itu, kita sebagai pekerja atau peniaga perlu sentiasa bersedia untuk membuat perubahan bagi tujuan kelangsungan hidup.

Memang diakui, kerajaan perlu merangka strategi pemulihan yang tuntas serta perlaksanaan yang konsisten. Bagaimanapun, kerajaan hanya sebahagian daripada unsur di dalam sesebuah ekonomi itu. Selebihnya, isi rumah dan peniaga atau usahawan perlu menggembeleng tenaga dan sumber yang ada ke arah yang lebih produktif dan berdaya saing.

Hakikatnya, landskap perniagaan sentiasa berubah-berubah, sama ada wabak ini wujud atau tidak. Ini adalah antara perkara yang perlu kita akui dan pelajari setelah kita semua melalui waktu getir.

Mungkin juga wabak ini boleh dianggap sebagai suatu faktor pemangkin dan penggalak bagi kita semua untuk membuat satu telahan dan mengambil tindakan yang sewajarnya demi mencapai kehidupan yang lebih sejahtera. Yang pasti, kita tidak boleh berada di zon selesa bagi suatu tempoh yang lama kerana itu boleh mendatangkan bahaya kepada kedudukan ekonomi kita pada masa akan datang.

Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi
Bank Islam Malaysia Berhad

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

96  −    =  86