Pembuangan sampah haram isu berulang

 Pembuangan sampah haram isu berulang

Keadaan tempat pembuangan sampah haram di Kampung Changkat, Gombak

Oleh Iqhram Ahmad

GOMBAK, 16 Mac – Peruntukan yang besar untuk melakukan pembersihan dan pengurusan sampah adalah usaha sia-sia jika rakyat Malaysia tiada kesedaran menjaga alam sekitar.

Tinjauan Wacana.my di Kampung Changkat di sini, mendapati masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya, hingga mendatangkan masalah.

Selain bau busuk, timbunan sampah yang umpama bukit di persimpangan jalan itu turut menyebabkan jalan menjadi sempit sehingga menyukarkan pengguna jalan raya.

Amirul Akmal Asnawi

Menurut penduduk setempat, Amirul Akmal Asnawi, 26, sampah yang bertimbun itu berpunca dari orang luar yang tidak bertanggungjawab dengan membuangnya di situ.

“Ramai orang luar datang ke kawasan kampung ini untuk membuang sampah domestik, pukal dan kotak makanan. Aktiviti ini selalu dibuat pada lewat malam atau awal pagi kerana tiada orang.

“Ada juga yang datang membawa kenderaan pikap dan membuang sampah besar seperti sofa dan almari di sini sehingga menyebabkan jalan menjadi sempit.

“Sampah-sampah yang menyempitkan jalan ini turut menjadi punca kemalangan kereta dan motosikal di kawasan ini,” katanya kepada Wacana.my.

Sementara itu, menurut Shafiq Tarmize, 27, ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah ke dalam sungai berdekatan.

“Ini bukan kali pertama berlaku dan pihak berkuasa telah beberapa kali mengambil tindakan selain melakukan kerja pembersihan, namun isu sama masih berulang.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini menjadikan kawasan ini sebagai tapak pembuangan sampah kerana tiada tempat berkenaan di kawasan berdekatan.

Keadaan tempat pembuangan sampah haram di Kampung Changkat, Gombak

“Kadang-kala penduduk setempat yang terpaksa melakukan kerja pembersihan di sungai walaupun sampah-sampah itu bukan milik mereka,” katanya.

Tambahnya, pembuangan sampah ke dalam sungai adalah perkara yang serius dan mengharapkan tindakan tegas pihak berkuasa tempatan dalam perkara ini.

Beliau turut mencadangkan pihak berkuasa tempatan untuk membina sebuah tapak pembuangan sampah bagi mengelakkan perkara ini menjadi semakin serius.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4  +  4  =