Pembinaan menara telekomunikasi baharu akan dilaksana segera

 Pembinaan menara telekomunikasi baharu akan dilaksana segera

Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Pembinaan menara telekomunikasi baharu untuk memastikan pelaksanaan program jalur lebar dan khidmat 4G akan dilaksanakan dengan segera, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata tender bagi projek-projek itu akan dikeluarkan dalam tempoh empat minggu dari sekarang.

“Pada hemat saya dan kerajaan, soal kesalinghubungan dan Internet ini dianggap sebagai hak asasi manusia. Kita ingin melihat seluruh rakyat Malaysia tidak kira di pedalaman atau di mana juga mereka berada, mereka perlu mendapat akses ini, bukan sahaja kesalinghubungan tetapi dengan kualiti yang tinggi,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai pelaksanaan pembinaan menara telekomunikasi yang perlahan meskipun telah berada dalam perancangan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Annuar berkata antara kawasan yang akan dibina menara telekomunikasi secara berperingkat ialah di Hulu Rajang (59 menara), Julau (47), Betong (40), Beaufort (26) dan Pasir Mas (dua).

Beliau berkata kementerian juga menyasarkan peralihan liputan daripada 3G kepada 4G akan dicapai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Annuar meminta Ahli-ahli Parlimen yang kawasan mereka mempunyai masalah liputan telekomunikasi dan memerlukan pembinaan menara supaya berhubung dengannya agar kajian bagi pembinaan infrastruktur itu dapat dibuat segera.

Sementara itu, beliau memaklumkan kementerian melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melaksanakan pelbagai program bagi menyediakan peluang kepada kumpulan sasaran termasuk golongan muda bagi meraih manfaat dan peluang dalam dunia digital.

Beliau berkata ia termasuk program Global Online Workforce (Glow) PENJANA yang diperkenalkan pada September tahun lepas bagi membantu 10,000 individu daripada tiga kumpulan sasar iaitu individu kehilangan pekerjaan, terjejas sumber pendapatan (pemotongan gaji lebih 50 peratus) dan graduan menganggur.

Katanya sehingga 30 Jun lepas, 10,200 peserta dilatih dan dibimbing serta berjaya menjana pendapatan terkumpul berjumlah RM15.29 juta.

Selain itu, program MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWIT) bagi menambah baik kemahiran pekerja, Premier Digital Tech Institutions (PDTI) dalam usaha melahirkan graduan berkualiti tinggi yang menepati kehendak industri serta Kempen E-dagang yang bertujuan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana serta mikro menggunakan platform dan aplikasi e-dagang untuk meluaskan pasaran.

Mengenai Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999, Annuar berkata ia akan ditambah baik pada masa akan datang supaya mampu memaparkan maklumat lokasi yang lebih tepat secara automatik apabila panggilan masuk ke pusat panggilan MERS 999.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  1  =