Pembiayaan politik dan bendera putih

 Pembiayaan politik dan bendera putih

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh Amerul Muner Mohammad

 

PAKEJ Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28.6.2021 merupakan suatu pakej bantuan kepada rakyat Malaysia yang masih dibelenggu oleh ancaman COVID-19.

Ramai rakyat menghadapi kesukaran yang mendesak akibat hilang punca pendapatan dan sebagainya. Semenjak dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18.3.2020 sehinggalah PKP 3.0 atau Level1 ketika ini, pelbagai pakej bantuan telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pengurangan aktiviti ekonomi di seluruh negara.

Di samping bantuan secara terus kepada rakyat, PEMULIH juga memberi moratorium kepada pembayaran pinjaman bank, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan pengeluaran wang simpanan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Walaupun ramai yang bersungut bahawa suntikan dari kerajaan hanya RM10 billion dari jumlah keseluruhan RM150 billion yang diumumkan, namun  kemudahan dan bantuan yang diberikan melalui PEMULIH boleh memberi ruang pernafasan yang lebih terutama kepada golongan B40 yang kini mungkin telah berkembang menjadi B60.

Suatu elemen yang menarik dalam PEMULIH adalah setiap ahli Parlimen, tanpa mengira sama ada dari parti memerintah atau pembangkang, diperuntukkan RM300,000 bagi tujuan menyediakan bakul makanan kepada keluarga yang menderita akibat dari hilang pekerjaan dan punca pendapatan akibat daripada COVID-19.

Bagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), peruntukan ini adalah tambahan kepada peruntukan pembangunan, geran dan sumbangan serta perbelanjaan pusat khidmat yang berjumlah RM3.8juta setahun. Ahli-ahli Parlimen seharusnya menggunakan peruntukan ini bagi membantu penduduk di kawasan mereka yang amat mengharapkan bantuan sebagaimana yang dapat dilihat melalui ‘gerakan bendera putih’ yang berjalan sekarang.

Peruntukan sama rata kepada kesemua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik ini boleh dijadikan asas kepada perlaksanaan cadangan berkaitan pembiayaan politik yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (ERC) pada tahun 2020 dan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) pada tahun 2017. Kedua-dua jawatankuasa khas tersebut yang ditubuhkan oleh kerajaan telah mencadangkan agar kerajaan memberi peruntukan yang sama rata kepada ahli-ahli Parlimen atau parti-parti politik mengikut formula tertentu bagi tujuan penggalakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan tanpa mengira ideologi politik.

Secara realitinya, kesemua aktiviti politik memerlukan dana. Lazimnya, parti-parti politik mendapat dana dari kutipan yuran keahlian dan juga sumbangan dari penyokong-penyokong parti. Di sesetengah negara, parti-parti politik dibenarkan untuk menjalankan perniagaan sebagai punca pendapatan bagi tujuan politik. Di Malaysia, parti-parti politik tidak menjalankan perniagaan  secara terbuka tetapi sebagaimana  yang diketahui umum banyak syarikat berkait rapat dengan parti-parti politik. Malah kerajaan sama ada persekutuan atau negeri mempunyai kepentingan dalam banyak syarikat yang menjalankan pelbagai perniagaan. Sering didakwa bahawa syarikat-syarikat milik kerajaan (GLCs) menjadi tunggangan parti-parti politik di samping kepentingan negara. Kes 1MDB adalah contoh yang terbaik dalam perkara ini.

Pandemik COVID-19 telah melanda negara lebih dari setahun. Kerajaan sepatutnya telah dapat menyediakan polisi, mekanisme dan pelaksanaan yang sempurna agar tiada rakyat yang akan kelaparan di dalam saat getir seperti yang berlaku sekarang.  Peruntukan yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen di bawah PEMULIH seharusnya digunakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat tanpa sebarang ikatan politik.

Bantuan ini bukanlah bermaksud ahli-ahli Parlimen mengambil alih tugas dan tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi bagi menambah baik pengagihan barang bantuan yang diberikan kepada masyarakat. Ahli-ahli Parlimen sepatutnya mempunyai data terkini berkaitan dengan rakyat terutama di kawasan mereka, dan oleh itu boleh mengagihkan bantuan dengan lebih berkesan. Ini adalalah peluang terbaik bagi wakil-wakil rakyat untuk menunaikan janji-janji mereka semasa kempen pilihan raya yang lalu. Kalau masa berkempen mereka mampu untuk bersua dengan semua pengundi, kini mereka harus melakukan perkara yang sama iaitu berjumpa dan membantu semua anggota masyarakat di kawasan mereka.

Dengan kecanggihan teknologi yang sedia ada, ahli-ahli Parlimen perlu mempamerkan bagaimana bantuan tersebut dilaksanakan dan peruntukan digunakan. Kegiatan ini harus dijalankan secara telus bagi memastikan tujuan peruntukan tersebut tercapai dan bukan digunakan semata-mata untuk tujuan politik dan memancing undi bagi pilihan raya yang akan datang. Sebagaimana yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), setiap ahli politik terutama wakil rakyat, harus menggunakan hanya satu akaun bagi penerimaan sumbangan politik dan perbelanjaan dari akaun tersebut harus melalui proses audit  bagi memastikan tiada penyelewengan dalam pengurusan kewangan politik.

Beberapa negara demokrasi, seperti Jerman, Australia, Sweden dan Indonesia, kerajaan memperuntukkan wang negara kepada parti-parti politik di negara-negara tersebut. Peruntukan tersebut bukanlah untuk digunakan sewenang-wenangnya terutama oleh parti memerintah. Pemberian peruntukan tersebut tertakluk kepada formula khusus dan pemantauan yang ketat oleh badan bebas.

Pihak kerajaan telah mengemukakan Deraf Rang Undang-undang Derma Politik untuk penelitian Jawatankuasa Khas Rang Undang-undang Parlimen pada September 2019. Malangnya jawatankuasa tersebut telah dibubarkan apabila kerajaan PN mengambil alih pemerintahan. Status deraf Rang undang-undang tersebut tidak diketahui sehingga ke hari ini. Di dalam dunia moden di mana wang menjadi salah satu punca utama kepada masalah negara, governans dan tadbir urus yang kemas melalui undang-undang amat diperlukan. Undang-undang berkaitan pembiayaan politik adalah salah satu ciri utama dalam Corruption Perception Index yang dijalankan secara tahunan oleh Transparency International.

Ahli-ahli Parlimen kini sibuk menjalankan tanggungjawab mereka membantu rakyat di lapangan. Sudah pasti rakyat juga amat berharap agar ahli-ahli Parlimen dapat menyediakan undang-undang dan polisi agar mereka tidak perlu lagi mengibarkan bendera putih dan mengharapkan ehsan untuk mendapatkan bantuan bagi kelangsungan hidup. Ahli-ahli politik juga sentiasa melaungkan bahawa mereka ingin berkhidmat untuk membantu rakyat, inilah masa untuk membuktikan bahawa kibaran bendera putih tersebut adalah tidak perlu. Setiap kali bendera putih dikibarkan, banyak air mata yang mengalir. Janganlah dibiarkan kedaifan menjadikan manusia kufur sehingga hilang pegangan agama.

 


Amerul Muner Mohammad adalah mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC)


 

Amerul Muner Mohammad

Amerul@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *