Pemberian subsidi input pertanian tidak akan dihapuskan

 Pemberian subsidi input pertanian tidak akan dihapuskan

Datuk Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR, 20 Sept — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kini dalam usaha mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah daripada input kepada output secara beransur-ansur.

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata sebarang pengurangan atau penarikan bantuan subsidi dan insentif input pertanian secara drastik adalah tidak disyorkan pada masa ini, kerana ia akan menjejaskan pendapatan pesawah secara langsung.

“Malah, hasil ‘Kajian Empirikal Kesan Subsidi ke atas Pengeluaran Padi dan Pendapatan Petani’ oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2019 menyatakan bahawa, kedua-dua subsidi dan insentif berasaskan input dan output masih diperlukan, untuk memastikan pulangan lestari kepada pesawah pada masa ini,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang meminta Ronald menyatakan adakah MAFI bercadang untuk mengkaji pemberian subsidi berasaskan output, dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran padi negara di samping terus menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah.

Ronald berkata semua program input dan output pertanian bersubsidi untuk terus menyokong industri padi dan beras, akan diteruskan termasuk Insentif Benih padi Sah (IBPS), Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

Beliau berkata MAFI juga akan terus berunding dengan kementerian kewangan mengenai pelaksanaan pemberian subsidi dan insentif berasaskan output, bagi menggalakkan pesawah meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.

Ia juga katanya bagi mewujudkan industri yang dikawal selia sendiri secara beransur-ansur, serta mengurangkan penglibatan dan pemantauan kerajaan di sepanjang rantaian pengeluaran padi.

Ronald berkata buat masa ini kerajaan juga meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan input dan output dengan menawarkan kontrak kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), bagi membekal input pertanian di bawah SBPKP dan Skim Insentif Pengeluaran SIPP untuk tempoh 1 Julai tahun ini sehingga 31 Dis 2023 bernilai RM1.82 bilion.

Bagi meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL), MAFI kini giat melaksanakan transformasi dan pembaharuan industri padi dan beras negara bagi meningkatkan pengeluaran beras ke tahap 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pendekatan baharu antara lain adalah pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) yang sedang giat dilaksanakan di beberapa lokasi ketika ini,” katanya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

81  −    =  80