Pembangunan lebih bagus berbanding naturalisasi

 Pembangunan lebih bagus berbanding naturalisasi

Reaksi pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rashid (kanan) dan De Paula selepas menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama pasukannya ketika Thailand dalam pertemuan mereka untuk Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum. WMY/Adli Ghazali

KUALA LUMPUR, 18 Jun. – Kegagalan skuad Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia telah membuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa untuk fokus kepada pembangunan pemain dari peringkat akar umbi berbanding memberi peluang kepada pemain naturalisasi.

Pada kekalahan Malaysia menentang UAE dan Vietnam, pemain yang diberikan taraf kerakyatan ini kelihatan ‘malas’ dan ‘tidak semangat’ bak kata pengguna sosial media. Ada juga daripada mereka yang mempertikai keputusan penggunaan pemain naturalisasi.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Datuk M. Karathu berkata tiada perubahan ketara akan berlaku kepada pembangunan skuad kebangsaan jika mengambil pemain yang kurang menyerlah di Liga Eropah, mahupun Liga Malaysia (Liga M).

“Kebanyakan pemain import luar negara dalam Liga-M adalah dalam kalangan mereka yang tidak dapat bermain dalam liga tertinggi di Amerika Selatan dan negara-negara Eropah. Daripada beli pemain asing ini, lebih baik beli pemain dari Vietnam.

“Semangat juang yang ditunjukkan pemain Vietnam amat berbeza dengan pemain kita yang ‘berjalan’ semasa perlawanan selain mengutip kad kuning tanpa pedoman. Sesiapa sahaja yang diberi peluang untuk mewakili negara harus memberi komitmen sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Karathu, yang bermain untuk pasukan kebangsaan sekitar tahun 1960an sehingga 1070an, turut mempersoalkan berapa ramai sebenarnya pemain import dari luar negara dalam liga tempatan kini, yang benar-benar layak untuk bertanding di peringkat tertinggi di Asia.

Veteran berumur 77 tahun yang pernah melatih pasukan seperti skuad bawah 21 tahun kebangsaan, pasukan Perak, Kelantan, Woodlands Wellington FC (di Singapura) dan pasukan kebangsaan Sri Lanka itu berkata mengambil pemain naturalisasi yang sudah agak berusia bukanlah satu idea yang baik.

Walaupun Malaysia layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia, para peminat mengecam usaha hambar pemain yang diberi taraf kerakyatan semasa menentang UAE dan Vietnam, terutama prestasi yang ditunjukkan oleh pemain kelahiran Brazil Guilherme de Paula, 34, Liridon Krasniqi, 29, (Kosovo) dan Mohamadou Sumareh, 26, (Gambia).

“FAM dan persatuan bola sepak negeri perlu serius dalam pembangunan pemain peringkat akar umbi, selepas kelab-kelab amatur, dulunya dianggap sebagai kilang pengeluaran pemain tempatanan dari pelbagai latar belakang, yang kini banyak yang ditutup.

“Proses pembangunan bola sepak negara perlu dirombak, FAM perlu berbelanja lebih untuk pembangunan ini, begitu juga dengan persatuan bola sepak negeri, mereka perlu fokus kepada pembangunan pemain di peringkat akar umbi. Sekadar satu atau dua akademi tidak mencukupi untuk meningkatkan kualiti pasukan negara,” katanya.

Menurutnya, pemain Malaysia tidak sepatutnya berpuas hati dengan gaji besar yang ditawarkan pasukan Liga M.

“Mereka perlu berebut untuk mendapat peluang bermain di Jepun, Koraa Selatan dan negara-negara Arab, yang tahap permainan bola sepak mereka dianggap sangat tinggi,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  1  =  1