Pembangunan institusi asas pertumbuhan ekonomi

 Pembangunan institusi asas pertumbuhan ekonomi

Oleh Dr Zulkiply Omar

KEPENTINGAN pembangunan institusi jarang dikaitkan dengan pembangunan ekonomi secara langsung. Sebenarnya, pembangunan institusi boleh dianggap sebagai prasyarat kepada pembangunan ekonomi. Namun ia sering dilihat dari kaca mata yang berbeza. Malah ramai yang tidak memahami konsep institusi itu sendiri.

Pembangunan institusi mesti bergerak seiring pembangunan ekonomi. Kelemahan institusi membantutkan pembangunan ekonomi jangka panjang walaupun pertumbuhan berlaku saban tahun. Kini Malaysia menghadapi cabaran kelemahan institusi sebagai batu penghalang kepada pembangunan ekonomi yang lebih mantap.

Kita sering mendengar kepentingan peningkatan permintaan untuk pertumbuhan ekonomi. Sama ada permintaan domestik mahupun permintaan antarabangsa. Permintaan domestik terdiri dari penggunaan dan pelaburan sama ada swasta mahupun awam. Rata-rata masyarakat umum telah memahami istilah-istilah ekonomi ini.

Kalau tiada pengeluaran mana mungkin ada permintaan. Maka kita lihat pula dari sudut penawaran. Bila permintaan meningkat, pengeluar pun meningkatkan pengeluaran. Maka, pekerjaan pun dicipta di dalam ekonomi.

Pengeluaran hanya boleh berlaku dengan adanya faktor pengeluaran. Lantaran itu tumpuan diberi untuk meningkatkan keupayaan faktor pengeluaran, terutama modal dan buruh. Pelbagai dasar yang digubal oleh kerajaan ke arah tersebut sehingga mampu membawa negara meniti pembangunan ekonomi yang pesat.

Kejayaan pembangunan ekonomi negara kini boleh dibanggakan tetapi masih belum boleh diraikan. Kejayaan kita belum sampai ke peringkat cemerlang. Untuk mencapai tahap kecemerlangan, sudah tentu cabaran yang lebih getir terpaksa dihadapi. Sekarang sudah banyak negara membangun lain termasuk di rantau ASEAN telah berjaya mencabar kedudukan Malaysia. Tiada jalan pintas, Malaysia mesti meningkatkan daya saing atau terdedah kepada risiko yang lebih mencabar.

Antara lain, pembangunan institusi perlu dilihat kembali. Institusi adalah suatu konsep yang samar, malah ramai yang keliru mengenai makna sebenarnya. Mungkin ramai beranggapan, institusi hanya terhad kepada suatu entiti fizikal yang mempunyai tugas tertentu, iaitu organisasi. Umpamanya, badan kerajaan dan swasta, pusat pengajian tinggi dan sebagainya. Sebenarnya institusi di dalam ekonomi adalah suatu konsep yang lebih luas dari organisasi. Kekeliruan ini mungkin berkait rapat dengan batasan bahasa.

Konsep institusi didefinisikan sebagai kekangan yang dikenakan kepada kelakuan manusia melalui undang-undang dan norma masyarakat. Tujuan kekangan ini adalah untuk meminimumkan kos urus niaga (transaksi). Setiap aktiviti ekonomi mempunyai kos transaksi. Sebuah institusi yang kuat akan mengurangkan kos transaksi dan sebaliknya institusi yang lemah akan meningkatkan kos transaksi. Peningkatan kos transaksi menjejaskan kecekapan, seterusnya melemahkan daya saing ekonomi.

Apabila transaksi berlaku antara dua pihak, masing-masing ingin mendapat manfaat yang sebaik mungkin dari transaksi tersebut. Umpamanya dalam  jual-beli, si penjual ingin mendapat harga setinggi mungkin dan si pembeli pula sebaliknya ingin mendapat harga terendah. Dalam pasaran kompetitif sudah tentu harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran. Maka, harga diterima sebagai adil untuk kedua-dua pihak. Namun, tidak semua pasaran berbentuk kompetitif. Kadang-kala terdapat herotan pasaran. Selalunya, si penjual akan mengambil kesempatan ke atas pembeli dengan cara yang tidak adil. Keadaan seperti ini akan terhindar dengan kewujudan sebuah institusi yang kukuh.

Pendek kata semua aktiviti yang membabitkan pertembungan sekurang-kurangnya dua pihak akan wujud konflik kepentingan seperti contoh di atas. Konflik itu itu yang mewujudkan kos transaksi. Kos tersebut tidak dapat dielakkan, cuma perlu dipastikan ianya adil untuk semua pihak terlibat. Di sinilah peranan institusi. Sama ada ia dicapai melalui undang-undang, peraturan atau norma masyarakat. Kedua-dua tersebut, yakni peraturan dan norma, akan selari untuk sebuah institusi yang kukuh. Dengan kata lain, setiap individu akan mengikut undang-undang dan peraturan kerana mereka mempunyai tanggungjawab moral.

Sering kita lihat di dalam suatu transaksi, pihak yang mempunyai kuasa akan mengambil kesempatan ke atas pihak yang lemah. Ini kerana pihak yang mempunyai kuasa ingin membuat keuntungan untuk diri sendiri yang tidak semestinya selari dengan organisasi yang diwakilinya. Ini tidak lain, adalah amalan rasuah. Penjawat awam yang mempunyai kuasa sering terdedah kepada situasi ini. Umumnya, undang-undang dan peraturan sudah lengkap, maka sekiranya berlaku penyelewengan kebiasaannya adalah kerana tanggungjawab moral yang tidak dihayati oleh si pelaku. Pembangunan institusi yang kukuh akan menuju ke arah penerapan tanggungjawab moral ke atas setiap individu yang berkenaan. Ianya tidak cukup sekadar mempunyai undang-undang dan peraturan yang komprehensif.

Rasuah hanya satu contoh kepada peningkatan kos transaksi terhasil dari kelemahan institusi. Banyak lagi peningkatan kos transaksi berlaku di dalam ekonomi berpunca dari kelemahan institusi. Tidak semuanya menyalahi undang-undang seperti rasuah. Ada sebahagian kos transaksi yang tinggi berlaku secara ‘adil’ mengikut undang-undang dan peraturan disebabkan kelemahan institusi. Umpamanya, kewujudan birokrasi yang kompleks di dalam prosedur berurusan dengan kerajaan. Selain dari peningkatan kos langsung transaksi, ianya juga terdedah kepada amalan rasuah dan kronisme.  Maka, di dalam situasi ini pihak kerajaan perlu menggubal dasar yang berkesan untuk memperbaiki keadaan.

Pada asasnya, kelemahan institusi akan menjadi penghalang kepada pembangunan ekonomi. Ini kerana institusi yang lemah akan menghasilkan sistem yang kurang efisien. Maka, kecemerlangan ekonomi sukar dicapai.

Oleh demikian, pembangunan menyeluruh institusi perlu diberi perhatian yang serius. Ini termasuk institusi formal dan tidak formal. Institusi formal terdiri dari institusi politik dan institusi perundangan. Manakala, institusi tidak formal pula adalah yang berkaitan dengan norma masyarakat yang berasaskan budaya dan nilai. Kedua-dua institusi, formal dan tidak formal, perlu diharmonikan. Untuk mendapat kesan lebih efektif, budaya dan nilai perlu diterapkan melalui sistem pendidikan. Maka, kesan akhirnya adalah pembentukan masyarakat yang menjunjung undang-undang dan peraturan kerana tanggungjawab moral. Inilah prasyarat kepada kecemerlangan pembangunan ekonomi yang dihajati.

Penulis ialah Pengarah Urusan, ECONSULT Economic Consulting Sdn Bhd (zulkiplyomar@econsult.my)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

88  −    =  86