Pembangunan ekonomi luar bandar elemen pemulihan masyarakat

 Pembangunan ekonomi luar bandar elemen pemulihan masyarakat

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata aspek pembangunan ekonomi luar bandar menjadi elemen penting dalam pemulihan masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, Malaysia memandang serius terhadap kepentingan pembangunan infrastruktur termasuk capaian internet kepada masyarakat luar bandar dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.

“Ini termasuklah aspek pembangunan ekonomi luar bandar kepada pengenalan latihan penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, pemerkasaan latihan dalam ekonomi digital dengan kerjasama dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan luar bandar selain pemerkasaan kepimpinan belia dan wanita luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Persidangan Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Afrika-Asia (AARDO) kali ke-20 secara dalam pada Rabu. 

Persidangan tahunan di peringkat menteri ini diadakan bagi membincangkan isu-isu pembangunan luar bandar dan hubungan kerjasama dalam kalangan negara anggota AARDO dari benua Afrika dan Asia.

Pada persidangan kali ini, Malaysia turut menyerahkan jawatan Pengerusi AARDO kepada Kerajaan Ghana selepas menerajui pertubuhan itu selama 3 tahun mulai 2018 sehingga 2021.

Sepanjang tempoh sebagai Pengerusi AARDO, Kerangka Pelan Strategik 2021 hingga 2030 telah diperkenalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa beliau memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan mempengerusikan Persidangan AARDO Ke-19 pada tahun 2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

40  +    =  50