Pembahagian jawatan bukti BERSATU tidak anaktirikan UMNO

 Pembahagian jawatan bukti BERSATU tidak anaktirikan UMNO

SHAH ALAM 18 Feb: Pembahagian jawatan, tanggungjawab serta tugasan dalam Kabinet, agensi kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah bukti BERSATU tidak pernah menganaktirikan UMNO.

Malah dari sudut lain, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, UMNO sebenarnya mendapat layanan istimewa dalam pembahagian tersebut.

“Mana anak tirinya? Kalau dilihat dari segi pembahagian jawatan, tanggungjawab serta tugasan yang diberikan kepada UMNO. Sebenarnya ia lebih kepada layanan istimewa kepada UMNO,” katanya menjawab pertanyaan dalam Wacana Sinar Harian yang disiarkan secara langsung secara dalam talian di sini semalam.

Wacana itu bertajuk ‘Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara?’ Turut hadir sebagai ahli panel Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan manakala penganalisis politk Prof Dr Sivamurugan Pandian turut menjadi ahli panel dalam talian. Moderator program itu ialah Edlynna Hanie Hamid.

Sebelum itu, Shahril menyatakan bahawa UMNO merasakan parti itu dianaktirikan oleh BERSATU sambil mendakwa parti itu tidak sebatang kara walaupun tanpa Perikatan Nasional (PN).

“Jawapan kepada tajuk perbincangan ini  ‘Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara?’ Jawapannya ialah tidak,’’ katanya.

Sementara itu, Sivamurugan berkata, selepas pilihan raya negeri Sabah baru-baru in, ada berlaku bibit-bibit keretakan dalam hubungan BERSATU dan UMNO.

“Ada berlaku syak wasangka. Dan semua yang berlaku ini (pergolakan politik) rakyat melihatnya,’’ katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful ketika menjawab pertanyaan lain berkata, pada realitinya keahlian BERSATU kian bertambah dengan cepat apabila rakyat melihat agenda parti iaitu membela rakyat dan berkhidmat untuk rakyat.

“Bila orang bercakap mengenai BERSATU, mereka rujuk kepada agenda BERSATU iaitu berkhidmat kepada rakyat.

“Di samping itu rakyat melihat perlunya kestabilan politik dalam negara ini. Rakyat mahu tengok kesatuan politik yang dapat membela nasib mereka,” kata Wan Saiful.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  52  =  56