Pematuhan SOP longgar punca Johor catat kes tertinggi COVID-19

 Pematuhan SOP longgar punca Johor catat kes tertinggi COVID-19

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan

JOHOR BAHRU, 27 Ogos — Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang longgar menyumbang terhadap peningkatan kes tertinggi di negeri ini sejak pandemik COVID-19 bermula, iaitu sebanyak 2,785 kes, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, bilangan kontak rapat positif yang tinggi dilaporkan semalam iaitu sebanyak 1,228 kes menyumbang kepada pertambahan kes.

Beliau berkata, pertambahan kluster juga merupakan antara penyumbang utama Johor merekodkan bilangan kes tertinggi dengan kebanyakan kes dilaporkan di Johor Bahru dengan 1,288 kes, diikuti Kluang (500) dan Kulai (206).

Trend peningatan kes berlaku sejak bulan lalu dan dalam tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 22,239 kes dilaporkan, iaitu 17 peratus daripada kumulatif kes COVID-19 yang pernah dilaporkan di negeri ini (128,666).

“Antara faktor penyumbang kenaikan kes ini adalah peningkatan kes di seluruh negara, khususnya di negeri yang mempunyai liputan vaksin yang rendah. Penularan antara negeri berlaku kerana terdapat pergerakan rentas negeri.

“Peningkatan kluster merupakan penyumbang utama peningkatan kes. Semalam, terdapat 10
kluster baharu yang dilaporkan, iaitu lima kluster industri, dua kluster komuniti dan tiga kluster institusi melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Kluang.

“Selain itu, kluster industri menyumbang sebanyak 72 peratus daripada kluster yang
masih aktif melibatkan 12,201 kes COVID-19 yang masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan memberitahu, kluster komuniti juga semakin kerap dilaporkan yang menyumbang sebanyak 10 peratus daripada kluster aktif semasa melibatkan sebanyak 1,246.

Pengesanan kes tertunggak atau kes yang belum dilaporkan dalam tempoh dua minggu lalu menyumbang kepada kenaikan mendadak kes positif COVID-19.

“Kelewatan berlaku ekoran maklumat yang diberikan tidak tepat dan tidak lengkap dan menyukarkan pencarian kes di dalam suasana kes yang tinggi.

“Sebanyak 1,613 kes baharu yang dilaporkan adalah kes yang telah melebihi empat hari. Ini disebabkan kesukaran siasatan di lapangan ekoran peningkatan kes. Secara purata, kes COVID-19 harian adalah antara 1,500 ke 1,700 sehari sejak dua minggu lalu,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

55  −    =  54