Pemandu van, bas kilang dikompaun bawa lebih penumpang

 Pemandu van, bas kilang dikompaun bawa lebih penumpang

IPD Johor Bahru Selatan mengenakan kompaun terhadap tiga pemandu van dan bas kilang termasuk pemiliknya kerana membawa lebih penumpang dalam sekatan jalan raya secara bergerak di Taman Daya, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU, 17 Jun — Padah membawa lebih penumpang, tiga lelaki termasuk pemilik bas kilang dikompaun RM22,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Daya, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, mereka ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang membuat sekatan jalan raya secara bergerak di taman itu bermula jam 8 malam.

“Polis menahan dua pemandu van dan bas kilang lelaki berusia 55 dan 59 tahun kerana didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), iaitu membenarkan kapasiti penumpang tidak melebihi 50 peratus dalam kenderaan.

“Ketika pemeriksaan dibuat mendapati kesemua tempat duduk dalam kenderaan dipenuhi pekerja kilang serta tidak ada penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pihaknya selepas itu menghubungi majikan pemandu bas, iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang diminta tampil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi siastan lanjut.

Ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan untuk dikompaun di bawah kesalahan peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Pemandu van dan pemilik bas pekerja kilang tersebut dikompaun RM10,000 setiap seorang, manakala pemandu bas pekerja kilang dikompaun RM2,000.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Padzli mengingatkan semua pemilik kenderaan dan penumpang supaya mematuhi segala SOP dalam kenderaan.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

80  +    =  89