Pemandu teksi rayu bantuan ‘one off’, moratorium

 Pemandu teksi rayu bantuan ‘one off’, moratorium

Mohamad Farid (tengah) menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi dalam majlis Penyerahan Bantuan Keperluan Asas Sumbangan Bersatu Bahagian Pasir Gudang Kepada Pemandu Teksi di Hentian Teksi Pusat Bandar Pasir Gudang, Pasir Gudang semalam

Oleh Nurman Nasyiq

PASIR GUDANG, 14 Jun – Persatuan Teksi Pasir Gudang memohon kerajaan supaya memberi bantuan ‘one off’, melaksanakan moratorium dan melanjutkan tempoh permit kerana pendapatan mereka kini terjejas 80 peratus.

Yang Dipertua Persatuan Teksi Pasir Gudang, Abdul Rahman Arif berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kehidupan mereka terhimpit dan berdepan pelbagai masalah.

“Antaranya, terdapat lima atau enam teksi sudah kena tarik dan ada yang tidak mampu membayar sewa bulanan. Selain itu 10 pemandu teksi sudah berhenti menjadi pemandu teksi dan menjadi pengawal keselamatan selain berniaga kecil-kecilan.

“Keadaan lebih mencabar semasa PKP 3.0,” katanya ditemui dalam majlis Penyerahan Bantuan Keperluan Asas Sumbangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Gudang Kepada Pemandu Teksi di Hentian Teksi Pusat Bandar Pasir Gudang di sini semalam.

Penyerahan sumbangan barang keperluan asas itu disempurnakan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak.

Abdul Rahman berkata, permohonan bantuan ‘one off’ itu wajar kerana sebelum ini bantuan kerajaan Pusat dan kerajaan Johor menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 hanya diberikan kepada pemandu bas.

Moratorium kepada pemandu teksi pula diharap dapat diberikan untuk tempoh enam bulan hingga hujung tahun ini.

Beliau berharap Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dapat memanjangkan permit teksi dari 10 tahun ketika ini kepada 15 tahun.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Md. Ali Hassan, 66, dari Taman Bukit Dahlia di sini mengakui tidak dapat membayar sewa teksi untuk bulan ini kerana pendapatannya merosot teruk akibat ketiadaan penumpang.

Bapa kepada lapan anak itu yang sudah memandu teksi pada 1970-an berkata, sejak PKP 3.0 dia hanya memperoleh satu perjalanan sehari dengan pendapatan tidak sampai RM6.

Muhamad Noh Yap Abdullah, 64, kadang-kadang pendapatan pemandu teksi yang diperoleh tidak setimpal dengan kos mereka malah lebih teruk kadang-kadang langsung tidak mendapat penumpang dalam sehari.

Dalam pada itu, Mohamad Farid yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berkata, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban pemandu teksi yang terjejas pendapatan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pemandu teksi terjejas teruk disebabkan ketiadaan penumpang malah dalam sehari kadang-kadang tiada penumpang dan mereka pulang dengan tangan kosong.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  73  =  76