Pemaju baharu dikenal pasti siapkan baki 30 peratus Hospital Bachok – Mustapa

 Pemaju baharu dikenal pasti siapkan baki 30 peratus Hospital Bachok – Mustapa

BACHOK, 18 Sept — Projek Hospital Bachok yang terbengkalai selepas kegagalan syarikat pemaju menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan akan disambung semula dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebuah syarikat pembinaan telah dikenal pasti untuk bagi menyiapkan dan melaksanakan semula kerja-kerja pembinaan yang berbaki kira-kira 30 peratus dalam tempoh 24 bulan.

Mengakui kecewa dengan kegagalan pemaju terdahulu, Mustapa berkata kos asal pembinaan hospital berkenaan ialah RM141 juta, namun kosnya telah meningkat berikutan masalah berpunca daripada syarikat pemaju.

“Pembinaan Hospital Bachok ini melibatkan kos RM141 juta bermula September 2016 dan sepatutnya siap pada Disember 2020, namun pemaju memberi alasan masalah pekerja dan kewangan menyebabkan mereka gagal menyiapkan projek ini.

“Berikutan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menamatkan kontrak syarikat terlibat pada Januari lepas. Pemaju baharu telah dikenal pasti dan akan diumumkan sebaik surat setuju terima (SST) dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek tersebut, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Jelawat Abdul Azziz Kadir dan Pengarah JKR Kelantan Ir Mohd Suhaili Ismail.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata kegagalan pemaju terdahulu amat mengecewakan kerana penduduk sekitar amat menantikan kemudahan hospital tersebut.

“Selain kos tambahan yang perlu ditanggung, kegagalan ini menyebabkan rakyat marah kepada wakil rakyat mereka,” katanya menambah jumlah kos tambahan akan diumumkan apabila SST dikeluarkan kepada pemaju baharu.

“Berkenaan tindakan kepada pemaju lama, ia akan diputuskan oleh JKR,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *