• Sunday, 20 June 2021, 11:58 am

Pelukis hasilkan topi keledar dengan bendera Palestin untuk tabung kemanusiaan

 Pelukis hasilkan topi keledar dengan bendera Palestin untuk tabung kemanusiaan

Oleh Kamaliza Kamaruddin

KUALA TERENGGANU, 23 Mei — Pelbagai cara dizahirkan rakyat Malaysia antaranya melalui infaq dan sumbangan, memasang lampu bendera Palestin di bangunan tinggi dan mengecam Israel di media sosial untuk membangkitkan kesedaran rakyat serta menunjukkan solidariti kepada penduduk Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel.

Bagi Mohd Rozamil Mohd Yatim, beliau menggunakan bakatnya dalam teknik lukisan ‘air brush’ untuk menghasilkan bendera Palestin di topi keledar dan sebahagian hasil jualannya pula akan disalurkan kepada tabung kemanusiaan bagi membantu rakyat di negara itu.

Pemuda berusia 34 tahun itu berkata beliau mewarnakan bendera Palestin di topi keledar kerana ingin menyatakan sokongan rakyat Malaysia dan tidak menyangka ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai setelah dimuat naik ke Facebook miliknya.

“Alhamdulillah ada sebuah syarikat yang sudi berkolaborasi untuk menghasilkan topi keledar dengan lukisan bendera Palestin itu dan menyasarkan jualan 10,000 unit helmet tersebut.

“Sebahagian hasil jualan helmet ini yang dijangka berharga RM300 seunit akan disalurkan pada tabung kemanusiaan Palestin dan saya harap inisiatif kecil ini akan menjadi inspirasi untuk lebih ramai individu di luar sana memanfaatkan bakat mereka membantu Palestin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Teknik ‘air brush’ adalah penghasilan karya menggunakan tekanan udara untuk menyemburkan cat pada medium tertentu seperti kereta, basikal, motosikal dan helmet yang memaparkan kreativiti pelukisnya.

Keunikan hasil karya Mohd Rozamil juga menyebabkan beliau banyak menerima tempahan daripada orang kenamaan, peminat sukan permotoran dan sukan lumba kuda termasuk Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mohd Rozamil berkata ini bukanlah kali pertama beliau menghasilkan karya untuk jualan amal kerana sebelum ini pernah menghasilkan pelbagai rekaan lukisan pada topi keledar yang didedikasikan khas untuk petugas barisan hadapan yang terlibat dengan COVID-19.

“Sebanyak 10,000 helmet dapat dijual dan hasilnya RM200,000 telah disumbangkan kepada beberapa tabung untuk keperluan petugas barisan hadapan,” katanya yang aktif dalam bidang seni itu secara sepenuh masa sejak tahun 2015.

 

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *