Pelbagaikan jenis bantuan kepada rakyat – BERSATU Johor Bahru

 Pelbagaikan jenis bantuan kepada rakyat – BERSATU Johor Bahru

Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru, Abdull Bakar Ali

JOHOR BAHRU, 1 Ogos — Semua pihak dirayu mempelbagaikan bantuan untuk rakyat.

Selain bantuan bakul makanan, kos sara hidup rakyat juga perlu diambil kira untuk bantuan yang mereka terima.

Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru, Abdull Bakar Ali berkata, bantuan makanan hanya satu bahagian keperluan rakyat, keperluan lain termasuk penyelesaian bil eletrik, yuran pendidikan, bayaran cukai, cukai tanah dan sebagainya.

“Bantuan bakul makanan yang diterima rakyat amat membantu golongan B40 dan M40 namun, mereka juga mempunyai bil yang perlu dilunaskan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Abdull Bakar lagi, bayaran sewa rumah, ansuran kenderaan dan kos penyelenggaraan bagi mereka yang tinggal di pangsapuri adalah antara aduan yang diterima oleh pihaknya.

Sementara itu, Abdull Bakar turut menyeru bantuan untuk pembangunan masyarakat.

“Bantu pembangunan msyarakat sepatutnya juga diberi keutamaan, seperti kursus keusahawanan, pengurusan kewangan bagi usahawan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berpendapat bantuan berkaitan yuran pendidikan dan peralatan penggunaan pelajar untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga amat penting bagi memastikan generasi akan datang negara berpendidikan dan berkebolehan.

“Bantuan pula haruslah seragam dan adil, jangan ada sikap pilih kasih dalam menyampaikan bantuan, semua rakyat yang memerlukan harus dibantu,” katanya.

Hanya bantuan pembangunan negara yang akan memastikan generasi akan datang mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk membina hidup yang lebih baik untuk diri mereka.

“Bagi yang kehilangan kerja ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, kita boleh berikan mereka jalan keluar dari kesusahan jika mereka diberi kemahiran baharu seperti berniaga atau kemahiran vokasional yang lain,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *