Pelantikan Ismail Sabri bawa harapan baru untuk rakyat

 Pelantikan Ismail Sabri bawa harapan baru untuk rakyat

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Rakyat kini boleh menarik nafas lega setelah Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Kemelut politik yang melanda negara kini boleh dikatakan selesai dari sudut pelantikan Perdana Menteri. Sesi sidang Parlimen akan datang bagi maksud menguji kepercayaan majoriti Perdana Menteri kesembilan itu adalah proses berasingan dalam sistem demokrasi, iaitu apabila dilantik Perdana Menteri hendaklah sepanjang masa mempunyai undi kepercayaan majoriti. Syarat itu jelas diperuntukkan di bawah Perkara 43(4), jika tidak beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menterinya.

Titah Agong amat mudah difahami bagi mereka yang tidak begitu cenderung kepada pihak tertentu iaitu baginda tidak mahu isu kepercayaan terus berlarutan kerana negara masih dibelenggu masalah pandemik COVID-19.

Rakyat semakin dihimpit kesusahan, barisan hadapan negara sudah keletihan, ekonomi negara semakin tenat dengan fasiliti kesihatan juga sesak.

Wacana.my menghubungi Pakar Perlembagaan Persekutuan Malaysia dari Universiti Malaysia Pahang, Datuk Prof Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain bagi mendapatkan pencerahan tentang pelantikan tersebut dan halatuju negara selepas ini.

“Ketika negara berdepan kemelut politik baru-baru ini, rakyat dapat menyaksikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pentadbiran negara,” katanya.

 

Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Menurut Wan Ahmad Fauzi, apa yang berlaku hari ini ialah tidak ada satu parti politik yang ada majoriti di Dewan Rakyat.

“Dalam keadaan begini, kerajaan amat rapuh, oleh itu di sinilah kebijaksanaan titah Baginda bahawa harus ada ujian kepercayaan di dalam parlimen terhadap PM setelah pembentukan Jemaah Menteri,” katanya.

Tambah beliau, Agong turut menasihati perlu ada kerjasama rentas parti dan semua mereka harus bekerja dalam satu pasukan.

“Paling menarik, titah baginda yang berbunyi, yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak hilang semua,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Fauzi lagi, dalam kumpulan yang mendokong PM hari ini, mungkin ada pihak tertentu yang tidak boleh bertolak ansur.

“Pembentukan Jemaah Menteri akan datang mestilah kukuh, kuat bersepadu untuk melayari ujian akan datang,” katanya.

Beliau menimbulkan persoalan adakah dengan 114 sokongan yang ada, keanggotaan Jemaah Menteri akan datang mampu memuaskan hati semua 114 orang ahli Dewan Rakyat?

Ahli Parlimen harus berjiwa besar untuk mengetepikan kepentingan diri dan parti, sebalik utamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Jika pembangkang dilantik menyertai Jemaah Menteri misalannya, jumlah ahli Parlimen yang menyokong kerajaan mungkin bertambah seterusnya mengukuhkan agenda negara dan rakyat yang ingin dilaksanakan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, melalui penyertaan rentas blok ke dalam Jemaah Menteri itu nanti, politiking akan berkurangan kerana masing-masing ada komitmen untuk mengurus isu-isu penting dalam sebuah pasukan yang besar buat seketika sehingga Parlimen selamat dibubarkan.

“Rakyat sedang memerhatikan dan akan membuat keputusan dalam pilihan raya nanti berdasarkan prestasi ahli Jemaah Menteri. Tidak dinafikan kerajaan berbentuk perpaduan ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi tidak pula mustahil,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

83  −  73  =