Pelancong terpegun menyaksikan keindahan bendera PN berkibar menjelang senja

 Pelancong terpegun menyaksikan keindahan bendera PN berkibar menjelang senja

Masjid Tanah: Pelancong di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini teruja menyaksikan pemandangan indah puluhan bendera Perikatan Nasional (PN) berkibar ditiup angin laut menjelang matahari terbenam semalam.


Mulai jam 6 petang, pantai berkenaan dipenuhi pelancong tempatan dan dari luar Melaka yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan keindahan kibaran bendera ketika matahari tenggelam di ufuk barat.


Kibaran bendera di Pangkalan Nelayan Kampung Pengkalan Balak menjadi lebih indah kerana bendera dipasang berhampiran perahu nelayan yang menyajikan pemandangan indah.


Pengunjung dari Kuala Lumpur, Normah Abu Bakar, 34, berkata beliau dan tiga anggota keluarga teruja menyaksikan bendera berkibar indah berikutan angin kencang di pantai.


“Saya sudah menyaksikan banyak bendera di kawasan lain tetapi ia tidak berkibar indah seperti yang berkibar di pantai kerana di sini angin kuat.


“Kami sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan keindahan bendera berkibar semasa matahari terbenam,” katanya ketika ditemui di pantai itu semalam.


Sulaiman Rosman, 47, dari Kulai, Johor berkata beliau dan anggota keluarga menziarahi saudara mereka di Kampung Padang Kemunting, di sini dan terpegun menyaksikan keindahan bendera berkibar ketika matahari berada di kaki langit.


“Pemandangan di sini amat indah dan bukan selalu kita dapat menyaksikan keindahan ini dan ia hanya boleh disaksikan semasa adanya pilihan raya,” katanya.


Kamariah Abdul Ghani, 27, berkata dia dan suami, Mustafa Kamal Abdullah, 29, bertuah kerana berpeluang merakam gambar matahari terbenam di belakang kibaran bendera.


“Hanya pada musim pilihan raya ada orang pasang bendera di pantai dan ia menyajikan pemandangan indah terutama ketika senja,” katanya.

Azlan Abdollah

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *