Pelancong mula berkunjung ke Pulau Tioman

 Pelancong mula berkunjung ke Pulau Tioman

Pelancong kini sudah mula datang ke Pulau Tioman untuk bercuti.

KUANTAN, 21 Okt – Penggiat sektor pelancongan di Pulau Tioman sudah mula menarik nafas lega apabila pelancong sudah mula berkunjung ke pulau peranginan itu walaupun masih perlahan.

Pelancong boleh dikatakan setiap hari datang ke Pulau Tioman menerusi jeti Tanjung Gemok, Rompin dan Mersing, Johor. Kebanyakan bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan.

Ketua Kampung Juara, Razib Ali Awang berkata, beliau bersyukur apabila pelancong sudah mula datang ke Pulau Tioman selepas sahaja Pahang dan beberapa negeri lain memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, pembukaan gelembung pelancongan sudah lama ditunggu oleh penggiat sektor pelancongan di Pulau Tioman yang sebelum ini begitu suram selama hampir dua tahun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, semua penggiat sektor pelancongan di Pulau Tioman kini sudah bersedia dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti dengan pelbagai promosi disediakan.

“Saya telah menerima beberapa tempahan menginap di Tioman Santai Resort daripada pelancong sepanjang bulan ini hingga November, jumlahnya dijangka meningkat secara berperingkat.

“Peluang kemasukan pelancong ke Pulau Tioman akan digunakan sebaik mungkin oleh penggiat sektor pelancongan di pulau peranginan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang memiliki Tioman Santai Resort di Kampung Juara berkata, kehadiran pelancong ke Pulau Tioman diharap dapat terus kekal walaupun tidak lama lagi musim tengkujuh berlaku.

Rakannya, Shahrolhazri Sani yang mengusahakan Juara Mutiara Resort berkata, selepas hampir dua tahun tidak menerima kehadiran pelancong, kini pelancong sudah mula datang ke Pulau Tioman yang terkenal di peringkat antarabangsa.

“Penggiat sektor pelancongan di Pulau Tioman kini berusaha menarik minat pelancong untuk datang bercuti sambil berihat bersama keluarga.

“Kami menawarkan pakej penginapan yang berpatutan sebagai promosi pembukaan sektor pelancongan di Pulau Tioman selepas hampir dua tahun tidak beroperasi,” katanya yang menekankan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *