Pelan pemulihan negara merangkumi 4 fasa berperingkat – PM

 Pelan pemulihan negara merangkumi 4 fasa berperingkat – PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 15 Jun. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa, melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Katanya, setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan ‘Tiga Indikator Ambang Utama’ ataupun ‘threshold‘ untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Pada fasa pertama, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan secara menyeluruh di mana hanya perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi.

“Manakala apabila memasuki fasa kedua, kerajaan akan memperluaskan senarai sektor yang berisiko rendah. Walau bagaimanapun, aktiviti sosial dan rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan mempertimbangkan peralihan fasa pertama kepada fasa kedua PKP sekiranya purata kes harian COVID-19 berada di bawah 4,000.

Tambah beliau, kerajaaan akan mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat pada fasa kedua peralihan PKP dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

“Dalam Fasa Ketiga pula, semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

“Kerajaan akan mula pertimbangkan peralihan dari fasa 2 ke fasa 3 sekiranya purata kes harian COVID-19 berada di bawah 2,000,” katanya.

Tambah beliau, sidang parlimen juga boleh diadakan pada fasa 3 PKP, iaitu sekitar September atau Oktober ini dengan pematuhan SOP yang ketat.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan pertimbangkan peralihan fasa 3 ke fasa 4 sekiranya purata kes harian COVID-19 turun di bawah 500 kes.

“Pada fasa 4, semua sektor ekonomi dan sektor sosial akan dibenarkan beroperasi jika kadar vaksinasi mencecah 60 peratus dari penduduk,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata bahawa kerajaan akan terus berusaha serta membantu rakyat dalam melawan penularan pandemik ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  32  =  38