‘Pelaminku musnah, namun aku reda ketentuan Yang Maha Kuasa’

 ‘Pelaminku musnah, namun aku reda ketentuan Yang Maha Kuasa’

Oleh : Mohd Haiqal Ramli

MASJID TANAH 10 Jan – Siti Nurul Ain Shahrom sudah terbayang saat indah dinikahkan dan bersanding di atas pelamin bersama-sama suami pilihan hati.


Namun, segalanya musnah apabila banjir besar 18 Disember lalu meranapkan set bilik pengantin dan pelbagai barangan hantaran seminggu sebelum pernikahannya pada 25 Disember 2021.


Meskipun remuk redam hati menyaksikan kemusnahan katil, almari pakaian dan almari solek dalam bilik pengantin, selain pakaian, kasut, minyak wangi dan seumpamanya, Siti tetap tabah dan reda menerima kenyataan kemusnahan itu.

Siti Nurul Ain mempamerkan cincin risik (kanan) dan cincin pertunangannya di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.


Menelusuri kisah sedih itu, Siti, 31, berkata, segala barangan itu disimpan di kediaman datuk dan neneknya, Othman Ishak, 88, dan Chek Mah Abdul, 75, di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat sini.


“Keluarga saya bercadang mengadakan kenduri kahwin di rumah datuk dan nenek pada 25 Disember lalu selepas saya dan bakal suami bertunang pada 13 November lalu, iaitu sebulan sebelum pernikahan.


“Kami sudah membeli set bilik pengantin dan pelbagai barangan hantaran untuk pengantin lelaki, selain cenderahati untuk tetamu majlis pernikahan dan persandingan tetapi segalanya musnah,” katanya ketika ditemui di kediaman datuknya di kampung itu hari ini.

Cincin risik (kanan) dan cincin pertunangan Siti Nurul Ain Shahrom.


Siti yang tinggal di Batu 3 Shah Alam berkata, dia amat terkejut apabila menerima panggilan daripada neneknya yang menjelaskan mengenai banjir besar melanda kampung itu pada awal pagi 18 Disember lalu.


Bagaimanapun, ketika itu Siti tidak mampu bergegas pulang ke kampung kerana kawasan kediamannya di Batu 3 Shah Alam juga dinaiki air.


Hanya pada 21 Disember baharulah Siti berjaya melepasi banjir di Shah Alam dan pulang ke kampung untuk memeriksa barangan yang masih tersisa akibat bencana alam itu.

Siti Nurul Ain Shahrom, 31


“Bakal suami saya menerima segalanya dengan reda dan dia juga terpaksa menghadapi banjir di tempat tinggalnya di Bentong, Pahang,” katanya.


Siti yang bekerja sebagai jurutera robotik di sebuah kilang di Shah Alam berkata, setakat ini, ibu bapanya yang tinggal di pekan Masjid Tanah dan pihak lelaki masih belum memilih tarikh pernikahan baharu.


“Saya dan keluarga bercadang mengedarkan kad jemputan perkahwinan pada 18 Disember tetapi segalanya hanya tinggal kenangan kerana ketentuan Allah tiada siapa yang mampu mengatasinya.


“Kami bercadang menjemput anggota keluarga dan sanak saudara rapat untuk menghadirinya tetapi ternyata takdir Yang Maha Khaliq mendahului rancangan kami sekeluarga,” katanya.

Sitil Nurul Ain (dari kiri), Chek Mah dan Othman terpaksa mendapatkan khidmat tukang kayu membuat kerja pembaikan dinding bilik yang rosak akibat banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.


Dalam kejadian 18 Disember lalu, sebahagian besar rumah di Kampung Telok Berembang, Kampung Pengkalan Pauh, Taman Wira Indah dan pekan Lubok Cina dinaiki air setinggi kira-kira dua meter mulai jam 5 pagi dan surut beberapa hari kemudian.


Ia adalah banjir terbesar sejak 1971 yang menyaksikan masjid al-Wakil di pekan itu tenggelam manakala ratusan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

29  −    =  22