Pelaku vandalisme di Sungai Melaka berdepan tindakan PBT

 Pelaku vandalisme di Sungai Melaka berdepan tindakan PBT

MELAKA, 11 Mei – Perbuatan menconteng panel iklan di sekitar pinggir Sungai Melaka dekat Kampung Air di sini, disifatkan perbuatan vandalisme yang serius berikutan ia boleh mencemarkan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan vandalisme itu dan sekiranya tertangkap, si pelaku akan dikenakan tindakan mengikut akta yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kejadian berkenaan telah diselesaikan segera menerusi tindakan pantas kakitangan PPSPM bersama pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang telah mengecat semula contengan tersebut.

Murad turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga kerja PPSPM dan PBT atas keprihatinan mereka dalam menangani isu berkenaan.

Beliau menegaskan, bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi, pihaknya akan menggerakkan pasukan ‘Emergency Response Team’ (ERT) PPSPM bersama penguat kuasa MBMB yang akan melakukan pemantauan dengan lebih kerap di sepanjang laluan siar kaki Sungai Melaka.

Hari ini tular satu gambar yang memperlihatkan contengan bertulis ‘Kerajaan Gagal’ dipercayai menggunakan semburan cat berwarna merah dan hitam pada hampir di keseluruhan panel iklan di Kampung Air, di sini.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

57  −  55  =