Pelajari cerap prestasi ekonomi tuntutan norma baharu

 Pelajari cerap prestasi ekonomi tuntutan norma baharu
Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

APABILA membincangkan prestasi ekonomi, rata-ratanya boleh mengutarakan pandangan masing-masing. Perkara ini sememangnya sesuatu yang sihat. Ini jelas menunjukkan seseorang itu begitu peka dengan keadaan semasa serta langkah-langkah yang diumumkan kerajaan bagi mengurus ekonomi negara ke tahap lebih baik.

Seperti sedia maklum, dunia dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19 pada tahun lalu. Ia telah menyebabkan ekonomi menjadi hampir lumpuh apabila langkah-langkah seperti lockdown dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Justeru, pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) baru-baru ini sememangnya adalah angka yang amat ditunggu-tunggu bagi mengukur prestasi ekonomi negara pada tahun lalu.

Berdasarkan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM), KDNK negara telah menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020. Ini adalah prestasi terburuk sejak ekonomi negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998 yang mana KDNK negara pada 1998 telah merudum sebanyak 7.4 peratus. Berpandukan kepada perkataan ‘Keluaran’ pada awal singkatan KDNK, dapat kita rumuskan bahawa angka ini sebenarnya mengukur berapakah jumlah pengeluaran barangan dan perkhidmatan pada satu-satu tahun itu.

Bagi menjelaskan maksud ini, kita perhatikan nilai KDNK pada 2020 adalah RM1.34 trilion. Ini bermakna jumlah barangan dan perkidmatan yang dihasilkan pada 2020 yang mana kita mula menghadapi COVID-19 adalah berjumlah RM1.34 trilion. Jika kita bandingkan dengan nilai KDNK pada 2019 iaitu RM1.42  trilion, maka peratus perubahannya adalah -5.6 peratus. Apabila peratusan perubahan KDNK itu mencatatkan angka negatif, ini bermakna ekonomi itu dikatakan berada dalam keadaan meleset. Maksudnya, jumlah barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan adalah berkurangan berbanding tahun sebelumnya. Bila berkurangan, jawabnya akan kuranglah keperluan untuk mengambil pekerja disebabkan aktiviti untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan telah merosot.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila kadar pengangguran meningkat daripada 3.3 peratus pada 2019 kepada 4.5 peratus pada 2020. Jika kita melihat purata pekerja yang kehilangan pekerjaan, ia meningkat daripada 519,000 orang pada 2019 kepada 711,000 orang pada 2020. Sudah tentu perkara ini merupakan sesuatu yang membimbangkan kerana apabila seseorang itu kehilangan pekerjaan maka dia akan kehilangan punca pendapatan. Apabila perkara ini berlaku, kuasa beli negara akan berkurangan dan ini boleh mengugat ekonomi serta boleh mengundang pelbagai risiko seperti masalah sosial, jenayah dan sebagainya.

Disebabkan perkara di atas, pihak kerajaan telah bertindak memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memulihkan ekonomi negara secepat mungkin. Pelbagai langkah diperkenalkan seperti Program Subsidi Upah, Geran Khas Prihatin, skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti i-Lestari dan I-Sinar, bayaran pindahan, moratorium pinjaman bank bersasar serta program latihan bagi meningkatkan kemahiran dan peluang mencari pekerjaan  baharu.

Dari segi dasar monetari yang ditadbir oleh BNM, Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah dikurangkan ke paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75 peratus. Selain itu, Keperluan Rizab Berkanun (SRR) juga dikurangkan sebanyak 100 mata asas kepada 2 peratus yang bertujuan menambah kecairan di dalam sistem perbankan. Langkah-langkah yang melibatkan OPR dan SRR bertujuan menggalakkan pertumbuhan pembiayaan di dalam sistem perbankan di mana pembiayaan yang diberikan akan digunakan bagi tujuan pelaburan dan penggunaan yang boleh merancakkan kegiatan ekonomi negara.

Jika diperhatikan dua dasar ini iaitu dasar fiskal yang berkaitan hasil dan perbelanjaan kerajaan serta dasar monetari akan digunakan bagi merangsang ekonomi apabila kemelesetan ekonomi berlaku. Ia merupakan dasar pengurusan permintaan yang dipelopori oleh figura seperti John Maynard Keynes yang mana campur tangan kerajaan adalah intipati penting dalam pengurusan ekonomi negara.  Sebelum ini, ekonomi Malaysia pernah meleset pada 2009 dengan KDNK menguncup sebanyak 1.5 peratus. Ini berpunca daripada Krisis Sub Prima di Amerika Syarikat pada 2007 dan 2008. Modus operandinya sama sahaja iaitu dua pakej rangsangan fiskal diperkenalkan berjumlah RM67 billion manakala OPR diturunkan kepada 2 peratus.

Mungkin ada yang akan bertanya, bukankah ukuran KDNK ini tidak sempurna? Dan ada juga kita dengar bahawa kita tidak perlu melihat angka KDNK ini. Memang benar angka KDNK ini bukan suatu ukuran yang sempurna kerana ia tidak mengukur agihan kekayaan negara atau jurang pendapatan antara yang miskin dan yang kaya. Namun ia tetap penting kerana untuk meningkatkah hasil negara, KDNK perlu mencatatkan pertumbuhan positif. Ia umpama kereta yang sedang bergerak. Bagi mengetahui kelajuan kereta tersebut, kita perlu melihat meter kelajuan. Tanpa meter ini, kita tidak tahu adakah kita sedang bergerak dalam kelajuan yang sesuai atau tidak. Jika terlalu perlahan, maka lambatlah sampai ke destinasi dituju. Jika terlalu laju pula, dikhuatiri boleh mengundang bahaya kerana sukar untuk mengelak jika ada halangan di depan dan kemalangan boleh berlaku.

Pengajaran daripada perkara ini adalah kita sebagai rakyat Malaysia memang perlu mencerap prestasi ekonomi negara. Mungkin ini antara norma baharu yang perlu diamati dan dilaksanakan. Untuk mencerap, ukuran yang digunakan perlu tepat dan bersesuaian. Tujuannya supaya kita dapat membuat pertimbangan bijak mengenai apa juga keputusan terutama yang melibatkan pekerjaan, perniagaan dan kewangan peribadi. Sebaiknya, kita jangan terus menerima bulat-bulat apabila ada individu berbicara mengenai perihal ekonomi tanpa membuat usul periksa berkenaan buah fikiran yang dilontarkan.

Tidak salah untuk meraikan pendapat orang lain. Tetapi sebaiknya kita yang menerima dan mendengar buah fikiran tersebut perlu membuat “kerja rumah” bagi memastikan kita tidak dimomokkan dengan perkara yang boleh menyebabkan perasaan yang negatif yang boleh memberi kesan kepada tahap motivasi kita. Dikhuatiri ini boleh menyebabkan kita menjadi begitu pesismitik dan boleh memberi kesan kepada produktiviti. Pendek kata, kita semua perlu ada jati diri. Kita jaga kita.

Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  2