Pelajaran lebih diutamakan – Irfan Haris

 Pelajaran lebih diutamakan – Irfan Haris

KUALA LUMPUR, Januari 2022 – Debut lagu ‘Patung’ setahun lalu yang dinyanyikan beliau ternyata menjadikan nama penyanyi remaja yang sedang menginjak dewasa ini disebut-sebut sebagai pelapis muda industri muzik tanah air.

Dengan memiliki vokal yang unik, anak muda asal Johor Bahru, Johor, Irfan Haris Othman atau lebih terkenal dengan panggilan Irfan Haris, muncul dengan single terbaharu berjudul ‘Milik’ terbitan Rocketfuel Entertainment setelah hampir setahun tidak keluar dengan mana-mana single.

Irfan Haris.

Single yang berentak pop moden ini telah dicipta oleh Irfan sendiri bersama barisan komposer-komposer terkemuka tanah air seperti Mike Chan, Ajay Amai, Nick Ariff, Glow Rush, Nappie Hassan dan Kaler-J.

“Lagu ini berkisar tentang kisah percintaan dalam sebuah perhubungan yang asalnya merupakan hubungan di antara dua rakan baik yang kemudiannya ‘hati’ rakan baiknya itu menjadi miliknya, dan hubungan itu menjadi sangat istimewa buat lelaki tersebut.

“Pada kali ini saya membawakan genre pop moden yang tak pernah saya nyanyikan sebelum ini kerana inginkan kelainan dan mencuba sesuatu yang baru, selain mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.

“Lagu ini juga turut memaparkan sisi vokal yang lebih dewasa sesuai dengan usia saya sekarang,” kata penyanyi berusia 20 tahun ini.

Penuntut tahun akhir jurusan diploma dalam bidang Seni Hiburan di KDU University College ini memilih untuk memberi fokus kepada bidang pelajaran terlebih dahulu.

“Pihak pengurusan Rocketfuel tidak pernah menghalang hasrat saya yang ingin meneruskan pelajaran dan mereka sangat memahami kehendak saya yang mahu menimba ilmu terlebih dahulu.

“Bayangkanlah ketika PKP, saya terpaksa melakukan aktiviti kuliah secara atas talian seperti berlakon, menyanyi dan menari, dan ternyata ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” kata Irfan lagi.

Tambah Irfan, video muzik (MV) Milik telah menjalani proses penggambaran sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan oleh kerajaan dan mengambil masa selama 1 hari untuk disiapkan.

“Saya juga sangat teruja dengan konsep video muzik ini yang memaparkan kisah cinta di kolej, di mana saya percaya ramai remaja pernah berdepan dengan situasi sebegini, MV lagu ini sangat ringkas namun pasti memberi impak terhadap sesiapa yang menontonnya,” ujar Irfan mengajak peminatnya menghayati kisah percintaan ‘rakan baik’ dalam single terbaharunya itu.

Izz Fizz

izz@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  29  =  32