Pelajar universiti guna khidmat pos hantar tugasan kuliah

 Pelajar universiti guna khidmat pos hantar tugasan kuliah

MELAKA, 21 Jun — Proses pembelajaran tidak terhalang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan khususnya bagi pelajar kejuruteraan elektrik dan elektronik di Universiti Teknikal Melaka (Utem)

Pelajar Utem yang tidak pulang ke kampus dan harus menyerahkan tugasan berkaitan litar elektronik memilih untuk menggunakan khidmat penghantaran melalui pos.

Litar elektronik yang perlu dihantar oleh pelajar kejuruteraan elektrik dan elektronik Utem.

Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Khuzairi berkata pada awalnya beliau bimbang jika pembelajaran mereka terjejas akibat PKP.

“Kami seperti pelajar kejuruteraan lain perlu melengkapkan beberapa tugasan yang melibatkan makmal kejuruteraan. Walaupun boleh melakukan kerja itu dari rumah, bahannya perlu disemak oleh pensyarah,” katanya.

Ketika PKP penuh dilaksanakan awal bulan ini, Khuzairi tidak pasti bagaimana untuk menyerahkan tugasannya untuk disemak.

Sehubungan itu ada pensyarah yang mencadangkan penggunaan khidmat pos bagi tujuan penyerahan tugasan.

“Pensyarah kelas rekacipta papan litar saya memaklumkan beliau akan mengirimkan komponen kepada semua pelajarnya supaya kami dapat menyiapkan tugasan dan jam kredit serta markah kami tidak terjejas teruk,” katanya.

Khuzairi meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas dedikasi dan komitmen ditunjukkan oleh pensyarah Utem bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan.

“Saya tidak pulang ke kampus selepas cuti Aidilfitri yang lepas kerana keluarga bimbang dengan kes positif COVID-19 yang semakin meningkat, waktu yang sama saya bimbang markah dan jam kredit saya juga terjejas,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  1  =