Pelajar sekolah Singapura diberi 3 kit ujian COVID-19

 Pelajar sekolah Singapura diberi 3 kit ujian COVID-19

Kit Ujian kendiri COVID-19 mampu kurangkan kesesakan di hospital dan klinik, namun pengguna harus berhati-hati ketika melupuskan kit yang sudah diguna. Foto – Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Semua pelajar sekolah rendah di Singapura akan diberikan tiga kit ujian pantas antigen (ART) bermula hari ini, apabila mereka kembali selepas cuti sekolah bulan ini.

Memetik laporan Berita Harian, langkah tersebut adalah sebahagian pendekatan empat kaedah yang diumumkan Menteri Pendidikan Singapura, Chan Chun Sing, menerusi Facebook semalam.

Ia termasuk melarang pelajar tidak sihat ke sekolah, dan langkah pengurusan kendiri di sekolah serta mengasingkan kes positif COVID-19 dan kontak rapat.

Chun Sing turut menggalakkan semua ahli keluarga membantu pelajar untuk melaksanakan ujian saringan kendiri di rumah minggu ini dan membiasakan diri mereka dengan prosedur berkenaan.

“Ia juga adalah langkah satu kali bagi memastikan anak-anak kita selamat. Pada masa depan, kita mungkin akan melaksanakan ujian kendiri tambahan.

“Baki dua lagi kit ujian adalah untuk persediaan masa depan, yang akan ditambah jika perlu,” katanya.

Bulan lalu, Kementerian Kesihatan Singapura berkata, pihak berkuasa akan mengagihkan kit ART kepada pelajar dan kakitangan di prasekolah berdaftar dengan Agensi Perkembangan Awal Kanak-Kanak, tadika di bawah Kementerian Pendidikan, pusat intervensi awal dan sekolah pendidikan khas.

Chun Sing turut menggesa ibu bapa supaya jangan menghantar anak mereka yang tidak sihat ke sekolah atau jika ada ahli keluarga sedang menjalani kuarantin atau pengasingan.

Katanya, kegiatan aktiviti kokurikulum kekal digantung dan langkah pengurusan keselamatan seperti pemakaian pelitup muka dan amalan kebersihan diri akan diteruskan kerana ia membantu meminimumkan risiko jangkitan di sekolah setakat ini.

Selain itu, katanya, pengasingan segera kes positif dan kontak rapat akan diteruskan bagi meminimumkan risiko jangkitan dan menjejaskan pelajar, kakitangan dan anggota keluarga yang lain.

Beliau turut menggesa semua pihak untuk menggalakkan ahli keluarga dan rakan mendapatkan suntikan vaksin bagi mengurangkan risiko kepada pelajar yang masih belum boleh divaksin.

Sabtu lalu, sejumlah 22 kes positif COVID-19 direkodkan membabitkan individu berusia bawah 11 tahun.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  5