Pelajar disahkan positif varian Omicron kini bebas COVID-19 – Dr Noor Hisham

 Pelajar disahkan positif varian Omicron kini bebas COVID-19 – Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Keputusan ujian kedua COVID-19 seorang pelajar warganegara Afrika Selatan yang pada mulanya dianggap sebagai kes pertama varian Omicron negara telah kembali negatif.

Malaysia mengumumkan kes positif pertama varian Omicron pada Jumaat, dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa kes indeks itu dikesan daripada sampel seorang pelajar universiti swasta di Ipoh, Perak, yang tiba di negara ini melalui Singapura bulan lepas.

Namun menerusi ciapan di Twitter malam ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian kedua ke atas pelajar berusia 19 tahun itu, dan semua tujuh kontak rapat, telah kembali negatif.

“Terkini dari Perak. Kesemua lapan sampel ujian RT-PCR hari ini untuk varian Omicron kembali negatif, iaitu kes indeks untuk kes Omicron pertama di negara ini dan tujuh kenalan rapat; pemandu, seorang pekerja universiti, tiga rakan sekolah (dua dari Ghana dan satu dari India) dan dua rakan sebilik,” katanya.

Pada sidang media hari ini, Khairy berkata kes indeks Omicron negara itu melibatkan seorang wanita bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov dan telah menjalani ujian PCR Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pelajar tersebut telah menjalani kuarantin selama 10 hari sebelum dibebaskan pada 29 Nov.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  76  =  86