• Thursday, 17 June 2021, 1:25 pm

Pelajar dakwa pengurusan asrama IPTA tak cekap

 Pelajar dakwa pengurusan asrama IPTA tak cekap

Oleh Suraya Ali

MELAKA, 22 Mei – Pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini mula resah apabila mereka diletakkan bersama pelajar yang diasingkan selepas pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri baru-baru ini.

Antara dakwaan mereka ialah bagaimana pihak pengurusan asrama membenarkan pelajar yang pulang bercuti di kampung untuk menjalani tempoh pengasingan di unit yang sama dengan pelajar yang tidak pulang ke kampung.

Wacana.my menghubungi beberapa pelajar yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Pelajar tahun pertama, Zelda, 21, berkata beliau memilih untuk tidak pulang ke kampung di Selangor kerana diberitahu jika beliau pulang bercuti, beliau dikehendaki menjalani tempoh pengasingan. Namun kini walaupun tidak pulang ke kampung, unit asrama yang dihuninya turut menempatkan pelajar yang pulang dari kampung.

“Apa tujuan pihak pengurusan mengasingkan pelajar jika akhirnya kami diletakkan di unit yang sama berkongsi ruang umum yang sama seperti bilik mandi dan ruang rehat,” katanya.

Menurut Zelda, pada peringkat awal pihak pengurusan memberitahu pelajar yang kekal di kampus harus berpindah ke bangunan asrama yang lain, keranan bangunan asrama didiami beliau akan digunakan sebagai pusat pengasingan.

“Pengurusan juga menjamin bahawa bilik kami di bangunan asal ini tidak akan didiami oleh pelajar menjalani pengasingan namun kini sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Siasatan Wacana.my mendapati ramai pelajar meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan asrama di IPTA itu.

Pelajar juga mendakwa mereka yang menjalani tempoh pengasingan perlu membeli makanan sendiri di kafetaria atau menggunakan khidmat pesanan penghantaran.

Seorang lagi pelajar yang mahu dikenali sebagai Syarifah memberitahu Wacana.my, beliau pulang bercuti di kampungĀ  dan baru tiba di IPTA itu, Khamis lalu.

“Saya menggunakan khidmat penghantaran makanan tetapi saya perlu turun mengambilnya sendiri di pintu masuk bangunan asrama sama seperti pelajar yang tidak menjalani pengasingan,” katanya.

Syarifah turut mempersoalkan pengurusan asrama yang didakwa kurang cekap dan IPTA itu yang tidak peka terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar.

Wacana.my mendapati ramai pelajar meluahkan rasa tidak puas hati melalui aplikasi komunikasi pelajar asrama IPTA tersebut.

Usaha Wacana.my menghubungi IPTA itu gagal kerana panggilan ke pihak korporat universiti tidak berjawab manakala bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti tersebut mendakwa hanya menjalankan tugas mengikut arahan dan enggan memberi sebarang komen.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *